Wednesday, January 11, 2012

Nota kelas Tilawah tafsir (al-Baqarah 103-105)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 103:

- Ayat ini menjadi sambungan kepada ayat sebelumnya yang menggambarkan sekiranya kaum Yahudi itu beriman kepada nabi Muhammad s.a.w dan kepada al-Quran serta takut pula kepada seksa Allah s.w.t dengan meninggalkan perkara maksiat seperti mengerjakan sihir, nescaya mereka akan mendapat pahala daripada Allah s.w.t. Hal ini demikian adalah lebih baik daripada mereka menjualkan diri mereka dengan membeli sihir sekiranya mereka tahu[1]. Pahala disisi Allah s.w.t adalah yang lebih baik daripada kelebihan-kelebihan yang ada di atas muka bumi ini. Apa kelebihan sekalipun jikalau bercanggah dengan hukum Allah s.w.t tidak ada maknanya dan tidak member sebarang faedah pun. Kalau dapat faedah pun, dengan sebab kita membuat perkara yang bercanggah dengan hukum Allah s.w.t, faedah itu adalah sementara sahaja dan sesungguhnya faedah akhiratlah yang lebih baik dan kekal abadi. Oleh sebab itulah, orang yang beriman dan benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t akan memilih akhirat daripada dunia kerana mereka sudah begitu maklum bahawa akhiratlah tempat kekal abadi, rahmat dan nikmat yang sebenarnya bagi manusia.

2. Ayat 104:

- Ayat ini mengingatkan kepada orang-orang mu’min, janganlah mereka gunakan kata-kata yang biasa dipakai oleh kaum Yahudi atau pun musyrik Arab yang mengandungi erti bahasa kesat dan makian. Dengan sebab ketika itu orang Islam terpengaruh dengan kata-kata orang Yahudi yang tergolong daripada kalangan ahli kitab atau dengan kata lain orang yang mengetahui tentang agama. Jadi pada pandangan mereka, eloklah mengikut golongan yang faham tentang agama ini. Oleh sebab itu ada juga diantara para sahabat turut sama menyebut perkataan yang disebutkan oleh kaum Yahudi.

- Kaum Yahudi, apabila mendengar sabda nabi Muhammad s.a.w mereka berkata “raa’ina” yang bermakna dalam bahasa arab pada asalnya ialah “perhatikanlah kami” atau “peliharalah kami” ya’ni bermaksud janganlah tidak menghiraukan kami. (Secara kebiasannya memang kaum Yahudi ini kebanyakkannya tidaklah menyebut sesuatu melainkan untuk memburuk-burukkan nabi Muhammad s.a.w). Niat mereka menjawab sedemikian kerana lafaz raa’ina sebenarnya dalam bahasa mereka iaitu bahasa ‘Ibrani mempunyai makna kesat dan cacian iaitu bermakna bodoh[2]. Mereka sengaja menggunakan lafaz ini agar dapat memburuk-burukkan nabi Muhammad s.a.w dan menghasut kaum muslimin pada masa itu yang tidak mengetahui tentang perkara ini untuk terlibat sama. Lalu Allah s.w.t memerintahkan kepada orang yang beriman melalui fimanNya :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَقُولُوا رَاعِنَا وَقُولُوا انظُرْنَا

Bermaksud: “ Wahai orang yang beriman janganlah kamu berkata Raa’ina dan katakanlah Unzurna”

Perkataan “unzurna” mempunyai makna yang sama dengan “raa’na” tetapi perkataan ini tidak boleh ditakwil dengan makna kesat serta cacian. Maka hendaklah diucap dengan perkataan yang tidak boleh ditakwil kepada kata-kata kesat dan cacian. Oleh kerana itulah sekiranya kita hendak menyampaikan sebarang ucapan, hendaklah dihindarkan dari menggunakan perkataan yang mempunyai dua makna (double meaning) iaitu makna yang baik dan makna yang tidak baik supaya tidak ditafsirkan salah oleh orang yang mendengarnya.

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[3]: “Mengikut riwayat, sebab dilarang menggunakan kata-kata “raa’ina” ialah kerana samseng-samseng Yahudi menelurkan lidah mereka menyebut kata-kata itu apabila mereka tujukan kepada Rasullullah s.a.w supaya ia memberi makna yang lain yang diambil dari kata dasar yang lain yang beerti tolol atau bebal. Mereka takut untuk memaki nabi Muhammad s.a.w secara terus terang dan berdepan, lalu mereka mencari helah memaki beliau dengan cara yang tidak langsung, iaitu cara yang hanya sanggup dilakukan oleh kumpulan samseng yang hina. Oleh sebab itulah al-Quran melarang kaum muslimin menggunakan kata-kata yang digunakan oleh kaum Yahudi untuk memaki Rasullullah s.a.w dan menyuruh mereka menggantikannya dengan perkataan yang lain yang seerti dengannya dan tidak diputarkan oleh samseng-samseng kaum Yahudi untuk menggagalkan tujuan mereka yang hina dan tolol. Penggunaan cara ini oleh kaum Yahudi menunjukkan betapa besarnya kemarahan dan hasad dengki mereka, betapa biadap dan hinanya cara mereka dan betapa rendahnya budi pekerti mereka. Larangan ini membayangkan betapa besarnya perhatian Allah s..wt terhadap Rasullullah s.a.w dan kaum muslimin dan betapa hematnya pembelaan Allah s.w.t terhadap para hamba kesayangannya dalam menghadapi setiap tipu daya dan niat yang jahat dari musuh-musuh mereka yang pintar.”

3. Ayat 105:

- Ayat ini menggambarkan kaum ahli Kitab serta kaum Musyrikin tidak suka nabi Muhammad s.a.w mendapat kurnia yang baik dari Allah s.w.t, iaitu merupakan wahyu kerana mereka dengki kepadanya. Hal ini demikian pada pendapat ahli Kitab, yang layak menyandang jawatan nabi adalah dari keturunan bani Israel sahaja. Dan pada anggapan kaum musyrik Arab pula, merekalah yang paling layak menyandang jawatan itu kerana mereka orang yang berbangsa lagi berharta[4]. Tetapi hakikatnya kurnia Allah itu tiada sebarang orang yang dapat memilikinya, kecuali Allah s.w.t jua yang menentukannya kepada hambaNya yang dikehendakkiNya.

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[5] : “ Kemudian al-Quran mendedahkan kepada kaum muslimin niat-niat yang jahat dan sikap perseteruan yang tersembunyi di dalam dada kaum Yahudi yang hidup disekeliling mereka dan perasaan hasad dengki yang berkecamuk di dalam hati mereka dengan sebab limpah kurnia yang dikurniakan Allah s.w.t kepada kaum muslimin supaya mereka berwaspada terhadap musuh mereka dan berpegang teguh dengan keimanan yang didengkikan oleh musuh-musuh mereka dan supaya mereka bersyukur dan menjaga limpah kurnia Allah kepada mereka.”

- Ayat ini juga menjadi dalil bahawa secara hakikatnya orang-orang yang kafir memang tidak suka melihat umat Islam dalam keadaan senang-lenang, baik serta aman walaupun mereka menolong dan memberi bantuan kepada umat Islam seperti yang berlaku sekarang. Dunia Islam hari ini diracuni dengan berbagai-bagai projek yang telah disusun oleh orang kafir. Umpamanya, ketika peperangan pada masa dahulu satu perjanjian yang dikenali sebagai Pakatan Baghdad yang termasuk dalam pakatan itu negara-negara yang didiami oleh orang Islam antaranya Iraq, Iran dan Afghanistan. Begitu juga sekarang ini yang dinamakan NATO dan bermacam-macam perjanjian yang dirancang seperti Rancangan Colombo yang mana bertujuan antara lainnya memberi bantuan kepada negara-negara bebas termasuk negara Islam. Bantuan ini diberi oleh negara-negara Kuffar seperti negara yang dikuasai oleh kaum Yahudi dan Nasrani serta negara musyrikin seperti Jepun dan seumpamanya. Walaupun mereka memberi bantuan, tetapi harus diingat amaran yang telah Allah s.w.t berikan pada ayat ini. Kerana ayat ini memberi gambaran yang begitu jelas sikap kaum ahli kitab dan kaum Musyrikin terhadap umat Islam.

- Begitu juga dengan firmanNya[6]:

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

Maksudnya: “ Kaum Yahudi dan Nasrani tidak akan redho kepada kamu sehingga kamu ikut agama mereka”

Ayat ini juga menunjukkan begitu jelas sikap kaum Yahudi serta Nasara yang tidak akan suka kepada umat Islam selagimana umat Islam tidak mengikut jejak langkah mereka. Walaupun pada hari ini mereka berbuat baik kepada umat Islam tetapi berdasarkan ayat ini sudah tentu kebaikan yang mereka lakukan itu bukanlah mempunyai niat yang baik. Mereka berbuat baik mungkin kerana mereka sedang lemah (seperti berlaku di Madinah) dan mungkin juga mahu mengambil kesempatan dari kekayaan negara Islam untuk mengaut keuntungan yang banyak dari hasil bumi yang ada di negara-negara Islam.

- Umat Islam hanya boleh berdamai dengan orang yang kafir berdasarkan kepada firmanNya[7]:

وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Bermaksud: “ Jika sekiranya mereka ini cenderung untuk berdamai maka berdamailah kamu dengan mereka dan bertawakkallah kepada Allah s.w.t”

Bagaimana pun, berbuat baik terhadap orang kafir ini biarlah berpada-pada dengan keadaan hati-hati dan cermat. Ya’ni kita melakukan kebaikan kepada mereka mengikut batas-batas yang diajar oleh Allah s.w.t yang mana sempadan kepada batasan ini jangan sekali-kali dilanggari. Umpamanya kita boleh berbuat baik dengan mereka dalam urusan perniagaan atau hubungan dagang dengan mereka. Tetapi sekiranya mereka mahu campurtangan dalam urusan pentadbiran, akhlak, ibadat dan cara hidup kita, maka kita tidak boleh sekali-kali mengikuti mereka. Kerosakan akhlak yang berlaku kepada golongan remaja kita sekarang ini dan kepincangan undang-undang dalam menentukan keadilan kepada masyarakat adalah berpunca daripada umat Islam itu sendiri yang melanggar batas sempadan hubungan mereka dengan orang kafir. Mereka memejamkan mata melihat unsur-unsur Yahudi meresapi akhlak remaja dengan berbagai-bagai program yang telah disusun mengikut jadual tahunan yang mana semua program ini menjauhkan para remaja kepada akhlak Islam yang sebenarnya. Mereka juga masih setia dan mungkin boleh dikatakan “sanggup mati” lebih daripada orang kafir lagi dalam mempertahankan undang-undang sekular yang jelas dicipta oleh orang kafir yang sudah pasti jauh menyimpang daripada syari’at Islam sebagai perlembagaan negara.

- Kita boleh berkira bicara dengan mereka mengikut batas-batas yang diizinkan oleh Allah s.w.t dan kita hendaklah berhati-hati dan jangan sekali-kali mengikut kehendak mereka yang bercanggah dengan hukum Allah s.w.t kerana mereka memang berhasrat mahu menjauhkan diri kita dari Islam sedikit demi sedikit. Kaum Yahudi sendiri sudah mengetahui bahawa ajaran Islam ini adalah dari Allah s.w.t bukan sahaja umat Islam mengetahuinya. Bagaimana pun mereka sengaja mengingkari ajaran Allah s.w.t kerana kedegilan dan hasad dengki mereka kepada penganut Islam. Mereka juga mengetahui Islam itu adalah lebih baik dan juga mengetahui sekiranya orang Islam beramal dengan ajaran agamanya mereka tidak boleh menipu dan menguasai umat Islam. Sebaliknya, jika orang Islam tidak beramal dengan Islam, maka mudahlah mereka ditipu oleh orang kafir. Hal ini demikian mereka berusaha untuk menipu umat Islam supaya umat Islam itu jauh dari ajaran Islam agar mudah mereka menguasai umat Islam.

- Seperti contoh yang berlaku dalam ayat 104 sebelum ini yang memperlihatkan bagaimana kaum Yahudi di zaman nabi Muhammad s.a.w mencari perkataan daripada bahasa Yahudi yang serupa dengan bahasa Arab dengan makna makian dan cacian untuk menjawab sabda nabi Muhammad s.a.w. Dengan itu mereka dapat menghasut umat Islam pada masa itu memaki Rasullullah dengan cara tidak disedari. Dan helah tersebut pun boleh terjadi dizaman sekarang mungkin dalam keadaan yang berbeza tetapi konsepnya mungkin tidak berubah. Ya’ni konsep menghasut umat Islam menghina Islam dalam keadaan umat Islam tidak menyedarinya. Rasanya, boleh dibuat satu aturan ataupun “list” yang amat panjang tentang perkara-perkara yang sering umat Islam hari ini buat tetapi sebenarnya perbuatan itu menghina Islam dan mereka tidak menyedarinya. Dari segi akhlak, pakain, hiburan, hubungan suami isteri, ekonomi pendidikan hinggalah kepada undang-undang negara kesemuanya telah dicemari dengan tindakan yang menghina Islam dan anehnya, ramai yang semacam tidak menyedarinya. Oleh sebab itulah Allah melarang umat Islam terpengaruh atau mengikuti kata-kata orang kafir kerana ini akan mengheret mereka sedikit-demi sedikit jauh daripada Allah s.w.t.

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[8]: “ Al-Quran menggabungkan orang kafir dari ahli kitab dan kaum musyrikin didalam satu barisan kekufuran. Kedua-dua golongan ini sama-sama mengingkari kerasulan yang terakhir. Kedua-duanya menaruh hasad dengki dan dendam kesumat terhadap para mu’minin. Mereka tidak berniat baik terhadap umat Islam. Perkara yang paling tidak disukai oleh mereka terhadap golongan mu’minin ialah agama Islam, kerana Allah s.w.t telah memilih mereka mendukung agama ini dan menurunkan al-Quran kepada mereka, kerana Allah memilih mereka untuk menerima nikmat ini dan menyerahkan kepada mereka amanah aqidah dibumi ini, iaitu amanah yang agung di alam al-Wujud. Dan sebelum ini juga telah dihuraikan tentang hasad dengki dan kemarahan kaum Yahudi kerana Allah menurunkan wahyuNya keatas hamba yang disukaiNya sehingga mereka tergamak mengumumkan perseteruan mereka terhadap Jibril a.s kerana beliau ditugaskan menurunkan wahyu kepada Rasullullah s.a.w”

- Seterusnya ayat ini diakhiri dengan firmanNya:

وَاللَّهُ يَخْتَصُّ بِرَحْمَتِهِ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ

Maksudnya: “ Sedangkan Allah itulah yang menentukan rahmatNya kepada orang-orang yang dikehendakkiNya dan Allah jua yang mempunyai kurniaan yang amat besar”

Allah s.w.t lebih mengetahui siapakah yang hendak diserahkan risalahNya. Lalu Dia menyerahkan kepada Muhammad s.a.w dan orang-orang yang beriman kepada Baginda kerana Allah s.w.t mengetahui bahawa Baginda dan pengikutnya itu merupakan orang-orang yang wajar menerima limpah pengurniaanNya.

- Berdasarkan ayat ini, janganlah kita merasa bimbang tentang kesukaran untuk mendapat kebaikan didunia ini dengan sebab kita mengikut Islam yang sebenarnya. Kita hendaklah percaya bahawa rahmat Allah itu Maha luas. Antara sebab orang Islam tidak dijadikan kaya cepat seperti orang kafir dengan cara yang senang ialah kerana Allah s.w.t tidak mahu memberi kekayaan yang tidak masak kepada kita. Memanggang daging sebagai contoh, daging itu dibakar atau dipanggang di atas api yang kuat menyala-nyala. Sudah tentu api itu akan menjadikan daging itu keras dan hangus disebelah luar sedangkan disebelah dalamnya masih mentah. Begitu jugalah untuk memasak apa jua jenis masakan pun perlulah mengikuti api yang sesuai dan proses memasaknya dituruti satu persatu supaya ianya menjadi betul-betul masak dan matang.

- Inilah cara Allah s.w.t memberi rahmat kepada orang yang beriman dimana mereka diberi juga pangkat dan kebendaan tetapi haruslah terlebih dahulu melalui ujian dan dugaan yang mencabar keimanan mereka sehingga iman mereka menjadi matang dan hati mereka ikhlas sekaligus dengan ketinggian dan kelebihan yang dikurniakan terhadap mereka menyebabkan mereka makin hampir kepada Allah s.w.t dan bukan sebaliknya. Begitu juga dengan kekayaan yang diberikan kepada orang yang beriman adalah jauh bezanya dengan kekayaan yang diberikan kepada orang kafir. Kekayaan yang diberi kepada orang yang beriman sudah tentu dengan rahmat daripada Allah s.w.t serta diberkati olehNya. Tetapi kekayaan yang diberikan kepada orang kafir sudah tentu tiada keberkatannya. Sebab itulah kita jangan bimbang sekiranya dengan sebab mengikut Islam yang sebenar ini kita sukar untuk mendapat rahmat dan habuan kebendaan di dunia ini. Sekirannya kita mengetahui rahmat itu daripada Allah s.w.t, kita tidak merasakan kesukaran tersebut sebagai kesukaran tetapi ia sebagai ujian daripada Allah s.w.t .

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[9]: “ Tidak ada yang lebih besar dari nikmat kenabian dan kerasulan dan tidak ada yang lebih besar dari nikmat keimanan dan nikmat berdakwah kepada keimanan. Saranan yang halus ini merangsangkan di dalam hati orang-orang yang beriman tentang kesedaran betapa besarnya pemberian Allah s.w.t itu dan betapa limpahnya pengurnianNya itu. Begitu juga kenyataan al-Quran sebelum itu mengenali orang-orang kafir yang menaruh perasaan yang buruk terhadap kaum muslimin itu dapat merangsangkan kesedaran supaya mereka mengambil sikap yang bersungguh-sungguh berwaspada dan berhati-hati. Kedua-dua kesedaran perlu diwujudkan untuk menghadapi kempen-kempen yang bertujuan menimbulkan kegelisahan dan keraguan yang diterajui oleh kaum Yahudi untuk melemahkan aqidah di dalam jiwa orang-orang yang beriman, sedangkan aqidah itu pemberian Allah s.w.t yang Maha Besar kepada kaum muslimin”

- Allah s.w.t menentukan dengan rahmatNya apa yang dikehendakkiNya. Dia lah jua yang menjatuhkan kerajaan yang besar dan hebat iaitu Rom dan Parsi. Dia jugalah yang memberi ketinggian serta kemuliaan kepada umat Islam walaupun mereka daripada penduduk Mekah, Madinah dan kabilah-kabilah Arab yang tinggal di tengah-tengah padang pasir yang tidak bertamaddun. Tetapi dengan kurniaan daripada Allah s.w.t, mereka menjadi umat yang bertamaddun. Mereka diberi ilmu oleh Allah s.w.t walaupun pada peringkat awalnya mereka tiada ilmu. Apabila mereka benar-benar mahu kepada Islam, mereka diberi ilmu, tamaddun, kurniaan dan kekuasaan oleh Allah s.w.t. Ringkasnya, Allah s.w.t mempunyai kelebihan yang Maha Besar yang tidak dapat ditandingi oleh selain daripadaNya yang mana memang sudah pasti tiada tuhan yang sepertiNya, apatah lagi makhluk-makhlukNya.

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata lagi [10]: “ Demikianlah ayat-ayat di dalam pelajaran ini meneruskan pembicaraan sehingga pada akhirnya ia meletakkan kaum muslimin berdepan depan dengan matlamat sebenarnya kaum ahli Kitab yang terdiri dari orang-orang Yahudi dan Nasara, iaitu mereka sebenarnya mahu memalingkan kaum muslimin dari agama mereka kepada agama ahli Kitab. Mereka tidak akan berpuas hati terhadap Rasullullah s.a.w sehingga Baginda mengikut agama mereka. Jika tidak mereka akan terus melancarkan perang, tipu daya dan komplot terhadap Baginda sehingga akhirnya. Itulah hakikat pertarungan yang tersembunyi disebalik pembohongan, pengeliruan, hujjah dan alasan yang bertopeng itu.”



[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 151

[2] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 118

[3] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 392

[4] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 152

[5] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 393

[6] Al-Baqarah, ayat 120

[7] Al-Anfal, ayat 61

[8] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 393-394

[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 394-395

[10] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 388

Wednesday, January 4, 2012

BERKONGSI KELAZATAN SAJAKAH?

Antara sikap yg menghairankan ialah kesungguhan sebahagian dari kita mempromosikan restoran, gerai makan yang menjual makanan dgn murah dan lazat... Kita juga akan cepat2 berkongsi pengalaman apabila mendapat l...ayanan baik dari pusat2 servis kereta atau bengkel..

Malangnya apabila berlaku kemungkaran, walaupun terang2an tidak pula kita berusaha mengingatkan orang lain tentang bahaya yang bakal menimpa diri kita, keluarga dan negara.. kita sangat sabar dgn ketidakadilan dan penyelewengan, malah berusaha pula menutup-nutupinya dengan hujah dangkal; INI HAL POLITIK, biarkan ORANG2 POLITIK menanganinya..!,

"Betul tu" ... reaksi pantas sebahagian dari kita tanpa berfikir panjang.. apakah hujah itu diterima Allah atau sebaliknya, tanpa menyoal lagi apakah ia sikap yang patut bagi orang BERAGAMA dan BERIMAN?..

Nota kelas Tilawah tafsir (al-Baqarah 102)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 102:

- Ayat ini menjadi sambungan kepada ayat yang lepas dimana digambarkan ulama Yahudi dikalangan pendita-pendita mereka telah membelakangkan kitab Allah s.w.t dan tertarik dan cenderung pula dengan cerita-cerita dongeng sekaligus mengikuti kerja-kerja ilmu sihir. Pekerjaaan itu dilakukan oleh kaum bani Israel pada zaman kerajaan nabi Sulayman a.s hingga kepada kaum Yahudi pada zaman nabi Muhammad s.a.w[1]. Ayat ini secara fokusnya kepada ilmu sihir yang dibacakan oleh syaitan pada zaman kerajaan nabi Sulayman a.s. Al-Sihru menurut bahasa Arab, maknanya “ segala sesuatu yang sangat halus dan tidak dapat dijangkau oleh pancaindera”. Al-Azhari berkata bahawa asal makna al-Sihru ialah memaling sesuatu dari hakikinya kepada yang lain. Maka orang yang mengerjakan sihir ketika ia mengerjakan sihir, ketika ia memperlihatkan sesuatu yang batil dalam gambaran yang benar serta mengkhayalkan sesuatu lain daripada hakikatnya[2].

- Ibn al-Jauzi berkata[3]: “ Mengenai sebab nuzul ayat tentang sihir ini terdapat dua pendapat: Pertama, bahawasanya orang-orang Yahudi tidak pernah menanyakan sesuatu yang tersebut dalam Taurat kepada nabi Muhammad s.a.w melainkan beliau menjawab apa yang mereka tanyakan. Maka mereka menanyakan nabi Muhammad s.a.w tentang sihir. Mereka telah berdebat dengan Baginda dalam masalah tersebut. Lalu turunlah ayat ini dan pendapat ini dikemukan oleh Abu al-‘Aliyah. Kedua, ketika mana nama Sulayman disebut dalam al-Quran, kaum Yahudi Madinah berkata : “ Tidakkah kalian heran tentang Muhammad yang mengatakan bahawasanya putera Daud itu adalah seorang nabi? Demi Allah, Sulayman itu tidak lain dan tidak bukan hanya seorang ahli sihir”. Lalu turunlah ayat ini dan ini adalah pendapat Ibn Ishaq

- Al-Syahid Sayyid Qutb berkata[4]: “ Mereka telah meninggalkan kitab al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t yang membenarkan kitab suci yang ada ditangan mereka. Mereka mengikuti pula cerita-cerita yang dikisahkan oleh syaitan mengenai zaman Sulayman a.s dan mengadakan perkara yang boleh menyesatkan orang ramai iaitu dakwaan yang bohong terhadap nabi Sulayman. Mereka mendakwa Sulayman itu seorang tukang sihir dan beliau dapat menundukkan apa yang dapat ditundukkan oleh ilmu sihir yang diketahui dan digunakannya”.

- Umum mengetahui bahawa nabi Sulayman a.s adalah seorang nabi yang masyhur, mempunyai kekuasaan dan kemuliaan diatas muka bumi ini dengan kurniaan Allah s.w.t yang tiada tolok bandingnya. Semua makhluk patuh dan tunduk mengikut perintahnya dari manusia, binatang hinggakan angin, jin dan syaitan dengan izin Allah s.w.t sepertiman firmanNya[5]:

قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكاً لا يَنْبَغِي لأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ (35) فَسَخَّرْنَا لَهُ الرِّيحَ تَجْرِي بِأَمْرِهِ رُخَاءً حَيْثُ أَصَابَ (36) وَالشَّيَاطِينَ كُلَّ بَنَّاءٍ وَغَوَّاصٍ (37) وَآخَرِينَ مُقَرَّنِينَ فِي الأَصْفَادِ (38)

Bermaksud: “ Berkata ia (Sulayman) : “ Ya Tuhanku ampuni dosaku dan berilah aku kerajaan yang tidak patut pada seorang jua pun selepas aku, sesungguhnya Engkau banyak pemberian”. Kemudian Kami (Allah) mudahkan angin baginya, bertiup angin mengikut perintahnya, dengan lemah lembut menurut sesukanya. Begitu juga Kami mudahkan syaitan-syaitan, masing-masing menjadi tukang batu dan tukang selam (masuk laut). Dan yang lain diikat dengan pasung”

Daripada kefahaman ayat ini digambarkan bahawasanya nabi Sulayman a.s menggunakan jin dan syaitan untuk berkhidmat kepadanya. Ini sebagai mukjizat daripada Allah s.w.t untuk membuktikan kenabiannya. Maka setelah nabi Sulayman wafat, tersebarlah dari kalangan kaum bani Israel tentang ilmu-ilmu sihir ditambah pula dengan hasutan syaitan yang mendakwa bahawa nabi Sulayman itu bukannya nabi tetapi beliau adalah tukang sihir kerana boleh menggunakan jin, manusia, syaitan serta burung-burung untuk berkhidmat kepadanya. Meskipun ada diantara kaum Bani Israel yang menyangkal pendapat yang menyesatkan ini, tetapi banyak juga golongan yang membenarkannya. Sehinggakan ramai yang terpedaya dan terus mempelajari ilmu sihir yang karut itu berpandukan sebuah kitab catatan ilmu sihir[6] yang telah dicipta oleh mereka sendiri sekaligus membelakangkan pengajaran kitab Taurat yang sememangnya hak daripada Allah s.w.t. Lalu Allah s.w.t menafikan pendapat mereka yang sesat tadi dengan firmanNya:

وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ

Bermaksud: “ Dan tiadalah Sulayman itu kufur, tetapi syaitanlah yang kufur, diajarkannya ilmu sihir kepada manusia”

- Disambung pula dengan firmanNya:

وَمَا أُنزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ

Bermaksud: “ Dan apa yang diturunkan kepada dua Malaikat di negeri Babil (Babylon yang terletak diantara kawasan Iran dan Iraq) Harut dan Marut yang telah mengajar sihir”

- Terdapat khilaf di kalangan ulama’ berhubung dengan Harut dan Marut dua Malaikat yang diuji oleh Allah s.w.t. Ada riwayat mengatakan apabila Malaikat ini melihat manusia menderhaka maka timbullah perbualan diantara mereka berkisarkan bagaimana manusia boleh mengamankan dunia ini dari perbuatan maksiat dan kerosakan. Lalu Allah s.w.t menguji mereka dengan menjadikan Harut dan Marut itu bersifat manusia. Apabila kedua-duanya turun ke bumi Babylon dengan dibekali oleh Allah s.w.t dengan syahwat dan nafsu maka mulalah malaikat ini tadi mengalami berbagai-bagai kesulitan sehingga tidak tertahan ujian sekaligus mereka melakukan kerja-kerja yang diharamkan oleh Allah s.w.t iaitu mengajar ilmu sihir kepada manusia. Lalu kedua-dua malaikat ini telah dihukum oleh Allah, diberi pilihan samada mahu seksa dunia atau seksa akhirat lalu kedua-duanya memilih seksa dunia. Menurut al-Syaukani, riwayat ini adalah dhaif (lemah)

- Terdapat riwayat juga yang mengatakan Allah s.w.t telah menurunkan Harut dan Marut ke bumi untuk mengajarkan sihir sebagai ujian dan cubaan dari Tuhan kepada manusia. Mereka tidak mengajar sihir itu semata-mata untuk sihir tetapi untuk melenyapkan sihir dengan tujuan untuk memperlihatkan kepada manusia perbezaan antara mukjizat dan sihir. Adalah hak Allah s.w.t untuk menguji hambaNya dengan apa yang dikehendakiNya sebagaimana Dia menguji kepada kaum Talut dengan sungai. Pada masa itu sihir telah tersebar luas dan tukang-tukang sihir telah dapat mempertunjukkan hal-hal yang aneh sehingga timbul keraguan dan kesangsian terhadap bukti kenabian. Maka Allah s.w.t menurunkan dua orang Malaikat itu untuk mengajarkan aneka jenis sihir supaya menghilangkan kekeliruan antara mukjizat kenabian dan sihir dan dengan demikian dapat menyingkirkan keraguan yang ditimbulkan oleh sihir[7].

- Seterusnya Allah s.w.t berfirman:

وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلا تَكْفُرْ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلاَّ بِإِذْنِ اللَّهِ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلا يَنفَعُهُمْ

Bermaksud: “ Tiadalah keduanya mengajar seseorang sehingga telah mengatakan kepadanya: “Kami ini hanya godaan, janganlah engkau kufur”. Maka mereka mempelajari daripada keduanya cara-cara menceraikan antara suami isterinya. Tiadalah sihir mereka mendatangkan mudarat kepada seseorang jua pun melainkan dengan izin Allah s.w.t. Dan mereka mempelajari segala apa yang member mudarat kepada mereka dan juga perkara yang tiada berguna.”

- Jelasnya, ayat ini menerangkan sekalipun mereka diarahkan mengajar sihir oleh Allah s.w.t, mereka memperingatkan manusia dari bahaya mempelajari sihir serta menggunakannya untuk mendatangkan kemudharatan. Kedua malaikat itu, kalau mengajarkan sesuatu kepada seseorang, mereka akan berkata kepadanya: “ Ini hanyalah ujian dan cubaan dari Allah s.w.t, maka janganlah kamu kafir kerananya. Bertaqwalah kepada Allah s.w.t dan janganlah sihir itu kamu pergunakan untuk mendatangkan kemudharatan. Barang siapa yang mempelajarinya untuk memelihara diri daripada kemudharatan, serta untuk menolak gangguannya daripada manusia, maka selamatlah dia dan tetaplah ia mantap diatas landasan iman. Sebaliknya barang siapa mempelajarinya dengan keyakinan akan kebenaran sihir, untuk mendatangkan kemudharatan kepada manusia maka ia telah tersesat dan kafir[8]

- Dalam masalah sihir ini manusia terbahagi kepada dua golongan: Pertama, golongan yang mempelajarinya dengan niat yang baik, iaitu agar dapat menolak gangguannya daripada manusia. Kedua, golongan yang mempelajari sihir dengan i’tiqad yang jahat, iaitu bertujuan untuk menceraikan antara suami dan isteri serta perkara yang tidak berguna seperti menjadikan seseorang itu sakit sehingga menyebabkan maut disamping boleh menipu manusia dengannya.

- Seterusnya ayat ini mengingatkan kepada orang-orang yang beriman bahawasanya ilmu sihir itu sememangnya tidak boleh mendatangkan mudharat kepada seseorang jua pun melainkan dengan izin Allah s.w.t. Berkata al-Syahid Sayyid Qutb[9]: “Keizinan Allah s.w.t itulah yang membolehkan sebab-sebab itu melahirkan tindakan, mewujudkan kesannya dan menghasilkan natijahnya. Ini adalah satu dasar umum kepercayaan dan pemikiran yang pasti dijelaskan seterang-terangnya di dalam hati nurani orang yang beriman. Sebagai contoh yang paling dekat yang menggambarkan dasar ini disini ialah jika anda dedahkan tangan anda kepada api maka ia akan terbakar, tetapi sifat terbakar itu tidak akan berlaku melainkan dengan keizinan Allah s.w.t kerana Allahlah yang meletakkan kepada api itu sifat membakar dan meletakkan pada tangan anda sifat terbakar bila dijilat api dan Allah shajalah yang berkuasa untuk memberhentikan sifat-sifat itu apabila Dia tidak memberi keizinan kerana sesuatu hikmah yang tertentu sebagaimana yang berlaku kepada nabi Ibrahim a.s. Begitu juga sihir yang memisahkan diantara suami dan isteri dapat mewujudkan kesan ini dengan keizinan Allah s.w.t dan Allah s.w.t berkuasa membatalkan kesan ini apabila dia tidak memberi keizinan kerana sesuatu hikmah yang dikehandakkiNya. Begitulah perkara-perkara yang lain yang dikenali sebagai pemberi kesan. Setiap pengesan itu dibekalkan dengan sifat memberi kesan dengan keizinan Allah s.w.t dan ianya hanya dapat berfungsi dengan keizinan Allah sahaja dan Allah berkuasa membatalkan kesannya sebagaimana dia berkuasa memberi kesan itu apabila dikehendakki olehnya.” Seterusnya Allah s.w.t berfirman:

وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنْ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاقٍ وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنفُسَهُمْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ

Bermaksud: “ Sesungguhnya mereka itu telah mengetahui barang siapa yang membeli sihir (mengerjakannya), tiadalah ia mendapat pahala di kampung akhirat, dan sesungguhnya amat jahat sekali orang yang menjual dirinya kalau sekiranya mereka tahu.”

Sebenarnya ahli kitab sudah pun tahu bahawa tukang sihir tidak akan mendapat pahala di akhirat, malahan nerakalah tempatnya. Maka alangkah jahatnya orang yang sudah tahu sedemikian masih lagi mahu melakukan pekerjaan sihir. Mereka ini sebenarnya telah hilang dunia dan akhiratnya sekali. Hal ini demikian mereka sudah mengetahui bahawasanya orang yang mendalami ilmu sihir yang boleh mendatangkan gangguan dan kemudharatan ini tiadalah baginya pahala di akhirat.

- Apakah ahli sihir itu harus dibunuh (dihukum mati). Secara ringkasnya[10], Imam Abu Hanifah berpendapat bahawa ahli sihir adalah kafir, halal dilakukan pembunuhan keatas dirinya sedangkan taubat mereka tidak diterima. Manakala ahli sihir daripada ahli kitab hukumnya sama seperti ahli sihir yang muslim. Imam al-Syafie berpendapat, ahli sihir hukumnya tidak kafir dan tidak boleh dibunuh kecuali bila ahli sihir tersebut sengaja membunuh dengan sihirnya. Imam Malik dan Imam Ahmad pula berpandangan bahawasanya ahli sihir muslim harus dibunuh sedangkan ahli sihir dari ahli kitab tidak dibunuh



[1] Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 145

[2] M. Ali Ash-Shabuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum Dalam Al-Quran (1995), J.1, mk 143

[3] Ibid, mk 149. Lihat juga Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 243

[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 368

[5] Sad, ayat 35-38

[6] Ibn Jarir dan Hakim meriwayatkan dari Ibn ‘Abbas r.a bahawasanya Ibn ‘Abbas berkata; “ semua syaitan-syaitan itu mencuri-curi berita yang dapat didengari dari langit. Apabila salah seorang dari mereka mendengar suatu perkataan, maka ia mengubahnya menjadi seribu aneka ragam kedustaan, lalu meresapkannya kedalam hati manusia yang menjadikannya kitab catatan ilmu sihir. Allah s.w.t memberitahu Sulayman tentang hal ini. Lalu Sulayman mengambil kitab tersebut dan melemparkannya ke bawah kursi. Dan apabila wafatnya nabi Sulayman, seorang syaitan berdiri di jalan dan berkata : “ Sukakah kalian ku tunjukkan pusaka Sulayman, yang tiada seorang pun mempunyai pusaka seperti pusaka itu yang mempunyai kekuatan sebagai penangkal?.” Mereka berkata : “ ya , suka”. Lalu syaitan itu mengeluarkan kitab tersebut dan ternyata itu adalah kitab catatan ilmu sihir dan umat-umat kemudian mempelajari ilmu-ilmu sihir itu. Lihat Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi: Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil ( 1999), J. 1, mk 115. Lihat juga Ruh al-Ma’aani oleh al-Alusi.

[7] Ada juga pendapat dikalangan para ulama’ bahawa Harut dan Marut ini ialah manusia bukannya malaikat. Mereka bersetuju sedemikian tetapi berselisih pula pada mengatakan manusia yang bagaimana perangainya. Sebahagian mengatakan kedua-duanya manusia yang baik dan berkelakuan seperti malaikat sehingga masyarakat ketika itu meletakkan mereka seperti malaikat lalu kerana tidak tahan dengan ujian lalu mereka mengerjakan kejahatan dengan mengajar ilmu sihir kepada manusia. Sebahagian yang lain pula mengatakan bahawa Harut dan Marut itu manusia yang jahat tetapi berpura-pura sebagai orang baik seperti malaikat lalu mereka telah melakukan kejahatan diatas muka bumi dengan mengajar ilmu sihir.

[8] M. Ali Ash-Shabuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum Dalam Al-Quran (1995), J.1, mk 148

[9] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 371-372

[10] M. Ali Ash-Shabuni, Tafsir Ayat-Ayat Hukum Dalam Al-Quran (1995), J.1, mk 174-175