Thursday, May 26, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 31-34)

بسم الله الرحمن الرحيم

1- Ayat 31 :

- Setelah Allah s.w.t menjadikan Adam a.s, lalu Allah mengajarnya akan nama-nama (الأسماء). Mengikut riwayat Ibn ‘Abbas, ‘Ikrimah, Qatadah dan Sa’id b. Jubayr rahimahumullah, mereka mengatakan bahawa Allah s.w.t mengilhamkan kepada Adam a.s semua nama-nama yang ada diatas muka bumi ini[1].

- Mengikut riwayat yang lain, nama-nama itu ialah nama-nama malaikat dan nama zuriat keturunan Adam a.s. Pendapat ini disokong oleh Abu Jaa’far Ibn Jarir al-Tobari didalam tafsirnya[2].

- Kemudian Allah s.w.t mengemukakan nama-nama tersebut kepada malaikat dan meminta agar malaikat memberitahu nama-nama tersebut sekiranya mereka ini benar dan betul.

2- Ayat 32:

- Beginilah sifat malaikat yang merupakan hamba Allah yang mulia dan taat kepada Allah s.w.t yang mana apabila ditanya sesuatu perkara yang luar daripada pengetahuan mereka, mereka akan akur tidak mengetahuinya. Perkara sebegini tidak seperti sesetengah manusia yang kadang-kadang secara rambang memberitahu sesuatu perkara walaupun perkara tersebut tidak diketahui oleh mereka.

- Malaikat menyebut “maha suci Engkau wahai Tuhanku” yang bermaksud Tuhan yang maha suci daripada segala sifat kekurangan. Diantara sifat kekurangan itu ialah jahil (tidak mengetahui)

- Malaikat juga mengakui mereka tidak mempunyai ilmu melainkan apa yang di ajar oleh Allah s.w.t sahaja. Sifat sebegini sepatutnya disedari oleh manusia bahawa segala ilmu yang ada didunia ini kesemuanya adalah ilmu yang diajarkan oleh Allh s.w.t

- Jika sekiranya seseorang itu sedar bahawa ilmu yang ada padanya adalah kurniaan Allah s.w.t, maka dia belajar kerana Allah dan Allah akan member petunjuk kepadanya.

- Tetapi jika sekiranya, seseorang itu mempunyai ilmu sedangkan dia lupa kepada Allah s.w.t, ilmunya semakin lama semakin tidak berfaedah kepada beliau sehinggakan tidak dapat membezakan mana yang halal dan mana yang haram.

3- Ayat 33:

- Berdasarkan ayat ini, segala yang telah dijadikan oleh Allah s.wt hendaklah semua makhluknya termasuklah malaikat dan manusia menerimanya dan menyerah diri kepada Allah s.w.t kerana Allah mengetahui segala apa yang zahir dan apa yang disembunyikan.

- Sebab itu apabila malaikat tidak bersetuju ketika mana Allah hendak mencipta Adam sebagai khalifah, maka ditempelak oleh Allah dengan mudahnya sekaligus menjadi satu dalil bahawasanya kita sebagai manusia tidak boleh bertanya mengapa Allah s.w.t menjadikan sesuatu atau apa sebab Allah s.w.t menghalalkan dan mengharamkan sesuatu kerana itu semua adalah dibawah pengetahuan Allah s.wt.

- Jangan kita menunjukkan diri kita mengetahui lebih daripada Allah s.wt. Yang menjadikan manusia ialah Allah s.wt dan begitu juga apa yang memberi manfaat mahupun mudarat adalah kesemuanya diketahui oleh Allah s.w.t. Oleh sebab itulah jangan kita bertanya tentang segala hukum yang telah Allah tuntutkan kepada manusia sepertimana firmanNya[3]:

لا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ

Yang bermaksud: “tidak ditanya daripada apa yang ia jadikan tetapi mereka itulah yang akan ditanya”

- Jangan kita setelah tahu hikmahnya baru kita mahu percaya kepada hukum Allah tetapi sebaiknya kita hendaklah menyerah diri kepada Allah s.w.t setelah kita mengetahui bahawa Allah s.wt maha mengetahui tiap-tiap sesuatu sama ada yang tersembunyi apatah lagi yang zahir dan nyata sebagaimana sifat malaikat menyerah diri kepada Allah s.w.t dan itulah sifat yang mulia dan terpuji.

4- Ayat 34:

- Setelah Allah s.w.t menunjukkan kepada malaikat akan keistimewaan yang ada pada nabi Adam a.s dan malaikat pun akur tentang kelayakkan Adam a.s untuk menjadi khalifah dimuka bumi, maka Allah s.wt memrintah supaya malaikat itu sujud kepada nabi Adam a.s.

- Sepertimana yang disebut oleh Ibn ‘Abbas r.a, sujud kepada nabi Adam bukan beerti taat kepada Adam a.s sebaliknya taat kepada perintah Allah s.w.t dan Allah mengizinkan perbuatan sujud tersebut. Terdapat beberapa pendapat atau kekhilafan yang merujuk kepada apakah yang dimaksudkan sujud disini.

- Jumhurul ulama’ mengatakan sujud disini ialah dengan makna sujud bersungguh-sungguh sepertimana sujud yang dikenali dari segi hukum syara’ dengan meletakkan dahi ke bumi.[4]

- Setengah ulama’ pula berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan sujud disini bukan seperti dalam sembahyang, tetapi makna sujud merendah dan menghinakan diri di hadapan Adam a.s. Walau bagaimanapun, al-Qurtuby di dalam tafsirnya mengatakan pendapat ini adalah dha’if (lemah).

- Timbul pula masalah adakah harus makhluk sujud kepada makhluk sedangkan sujud itu khusus bagi Allah s.w.t sahaja? Kita hendaklah faham bahawasanya sujud malaikat kepada Adam a.s ini adalah khususiyyah yang merupakan keistimewaan[5] yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada nabi Adam a.s.

- Inilah juga dalil bahawa kejadian manusia ini lebih afdhal daripada kejadian malaikat terutama sekali para nabi dan rasul. Tidak dinafikan juga bahawa manusia itu sekiranya tidak menjadikan segala nikmat yang telah Allah berikan kepada jalan mensyukuriNya, maka manusia itu lebih hina daripada binatang. Sepertimana firmanNya[6]:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيراً مِنْ الْجِنِّ وَالإِنسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُوْلَئِكَ كَالأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَئِكَ هُمْ الْغَافِلُونَ

- Maksudnya : sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahannam itu kebanyakkannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak dipergunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (bukti keesaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.

- Malaikat tidak mempunyai nafsu syahwat, tidak ada mujahadah mahupun jihad. Adapun manusia yang taat kepada Allah terpaksa berlawan dengan nafsu serta berbagai-bagai rintangan yang mendatang. Dengan sebab itulah manusia diberi kelebihan daripada malaikat.

- Maka tidak boleh sujud kepada yang lain selain daripada Allah s.w.t selepas daripada itu.

- Ada juga ulama yang mengatakan sujud ini harus kepada mahkluk menurut syari’at nabi-nabi terdahulu sehinggalah ke zaman nabi Ya’qub a.s sepertimana yang disebutkan oleh Allah s.w.t[7] :

وَرَفَعَ أَبَوَيْهِ عَلَى الْعَرْشِ وَخَرُّوا لَهُ سُجَّداً

Maksudnya: “lalu nabi Yusof a.s mengangkat kedua orang tuanya keatas singgahsana dan mereka semua (nabi Yusof dan adik beradiknya) sujud kepada kedua orang tuanya.”

- Ayat ini menunjukkan nabi Yusof a.s dan saudara-saudaranya sujud kepada ayah dan ibunya dan inilah sujud yang terakhir kepada sesama makhluk.

- Terdapat juga ulama’ yang mengatakan bahawa sebenarnya di zaman nabi Muhammad sahaja yang tidak boleh sujud kepada makhluk tetapi bagi syari’at nabi lain dibenarkan untuk menghormati makhluk. Maka sujud kepada makhluk harus dan terhenti keharusan tersebut apabila sampai ke zaman Rasullullah s.a.w. dan pendapat inilah yang dipegang oleh ramai ulama’[8]. Mereka berkata demikian berdalilkan kepada beberapa hadith antaranya hadith yang diriwayat oleh Ibn Majah dalam sunannya[9] :

لما قدم معاذ بن جبل من الشام سجد لرسول الله صلى الله عليه وسلم, فقال رسول الله : ما هذا , فقال : يا رسول الله, قدمت الشام فرأيتهم يسجدون لبطارقتهم وأساقفتهم, فأردت أن أفعل ذلك بك ؛ قال: فلا تفعل فإني لو أمرت شيئا أن يسجد لشيء لأمرت المرأة أن تسجد لزوجها

- Maksudnya: ketika mana Mu’az b. Jabal bertemu dengan Rasullullah s.a.w di Madinah, beliau sujud kepadanya lalu baginda marah dan bertanya: “ apa yang kamu buat ini wahai Mu’az”, lalu Mu’az menjawab : “ Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku melihat orang-orang yahudi dan kristian di negeri Yaman sujud kepada pendita-pendita mereka”. Lalu Rasullullah bersabda: “ kalaulah sujud itu diharuskan oleh Allah, nescaya aku perintah isteri sujud kepada suami”.

- Maka bersujudlah malaikat kepada nabi Adam a.s atas perintah Allah s.wt kecuali Iblis yang enggan dan sombong dan terus termasuk dari kalangan yang kafir. Jumhur ulama’ antaranya Ibn ‘Abbas, Ibn Mas’ud, Ibn Jurayj, Ibn Musayyib, Ibn Qatadah dan lain-lain mengatakan bahawa iblis adalah daripada malaikat. Ini adalah kerana arahan untuk sujud adalah jelas kepada para malaikat dan secara automatik iblis termasuk didalamnya dan al-Baghawi mengatakan inilah pandangan yang paling tepat.[10] berdalilkan beberapa riwayat antaranya yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas mengatakan iblis daripada jin. Perkataan jin disini bukan dengan makna jin yang kita fahami sebaliknya ialah satu golongan daripada malaikat yang dinamakan jin[11]. Mereka ini ditugaskan untuk menjaga syurga yang mana perkataan jin itu diambil daripada perkataan al-Jannah. Mereka dijadikan daripada api bukan daripada cahaya. Sepertimana firmanNya[12]:

قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ

Maksudnya: berkata iblis, aku lebih daripadanya kerana engkau jadikan aku daripada api dan engkau jadikan Adam daripada tanah.

- Adapun malaikat yang biasa kita dengar dijadikan daripada cahaya. Al-Syahid Sayyid Qutb lebih cenderung mengatakan iblis ini daripada jin bukan daripada malaikat[13], walaupun ianya diisytiharkan kemudian dikecualikan daripada perkataan malaikat tetapi ianya tidaklah mencederakan dari segi penyusunan tatabahasa arab[14]. Ulama’ yang bersependapat dengan al-Syahid Sayyid Qutb ini berdalilkan firman Allah s.w.t yang berbunyi[15]:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَاراً وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلائِكَةٌ غِلاظٌ شِدَادٌ لا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ

- Maksudnya: Wahai orang-orang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu-batu (berhala). Neraka itu juga dikawal oleh malaikat yang keras dan kasar layanannya. Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. Berdasarkan ayat ini malaikat tidak derhaka kepada Allah sedangkan iblis sebaliknya. Dengan sebab itu iblis bukan daripada malaikat.

- Maka sebaik mungkinnya kita serahkanlah kepada Allah jua untuk menentukan kejadian sebenarnya iblis ini.

- Yang wajib kita berpegang adalah iblis itu jahat tanpa mengambil kira samada dia dari kalangan jin atau malaikat. Dia menentang atau derhaka kepada Allah s.w.t sedangkan dia adalah diantara makhluk yang mulia dilangit pada awalnya.

- Iblis mempersoalkan bagaimana mahu sujud kepada Adam sedangkan kejadiannya lebih mulia dari Adam a.s. Sifat takabbur serta tidak mahu tunduk kepada Allah inilah yang membawa seseorang itu menjadi kafir.

- Iblis engkar dengan hanya tidak mahu sujud kepada Adam a.s walaupun ia merupakan satu perintah yang secara zahirnya nampak mudah tetapi disebabkan takabbur dan bongkak menjadikan iblis engkar sekaligus menjadi kafir.

- Oleh itu fikir-fikirkanlah apabila manusia ini menentang hukum Allah adalah lebih teruk daripada keengganan sujud kepada Adam kerana iblis engkar disebabkan dia sombong dan bongkak terhadap kejadiannya yang lebih mulia daripada Adam dan dalam firasat mereka mana mungkin yang mulia akan sujud kepada yang hina. Iblis bukan engkar secara langsung terhadap Allah s.w.t. Tetapi perbuatan menentang hukum Allah yang dilakukan oleh sesetengah manusia dewasa ini adalah penentangan yang secara langsung terhadap Allah s.w.t seolah-olah mahu melebihi penentangan iblis terhadap suruhan Allah s.w.t.



[1] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 194

[2] Ibid.

[3] Al-Anbia’, ayat 23.

[4] Sepertimana sujud dalam sembahyang, sila lihat Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 201

[5] Keistimewaan yang merujuk kepada perlantikan beliau sebagai khalifah dan diajar oleh Allah segala nama bagi semua nama yang ada didunia ini. Lihat Dr. Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 133.

[6] Al-A’raf, ayat 179.

[7] Yusuf, ayat 100

[8] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 201

[9] Ibid, mk 202.

[10] Dr Wahbah al-Zuhayli, Tafsir al-Munir (1991), J. 1, mk 135

[11] Ibid. Ini adalah penjelasan bagi mereka yang berpendapat bahawa iblis adalah daripada malaikat terhadap firman Allah dalam surah al-Kahfi, ayat 50 yang berbunyi :

كَانَ مِنْ الْجِنِّ

Ibn ‘Abbas mengatakan namanya ‘Azazil, merupakan malaikat yang amat mulia yang mempunyai empat kepak. Diriwayatkan daripada Simak b. Harb dari ‘Ikrimah dari Ibn ‘Abbas: Iblis daripada malaikat, setelah engkar kepada Allah dan Allah murka lalu dilaknat dan jadilah syaitan.

[12] Al-A’raf, ayat 12.

[13] Pendapat ini disokong juga oleh Dr. Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya Tafsir al-Munir, mk 135

[14] Beliau berpendapat pengecualian didalam ayat tersebut tidak beerti bahawa iblis itu dari jenis malaikat, kerana adanya iblis bersama mereka membolehkan pengecualian itu dibuat. Ia sama dengan perkataan anda: “semua keluarga si fulan itu datang kecuali Ahmad” sedangkan Ahmad bukan dari anak buah keluarga itu malah sahabat mereka sahaja. Lihat Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 203-204.

[15] Al-Tahrim, ayat 6.

Wednesday, May 18, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 30)

بسم الله الرحمن الرحيم

1- Ayat ke 30:

- Setelah Allah s.wt menerangkan kepada kita pada ayat yang lalu bahawa Dia yang menjadikan langit dan bumi, yang mana diletakkan jin di bumi dan para malaikat di langit[1]. Maka dalam ayat ini Allah menjelaskan pula tentang kejadian manusia dimana Allah s.w.t mengisytiharkan terlebih dahulu kepada malaikat apabila hendak menjadikan nabi Adam a.s. sebagai khalifah dimuka bumi ini.

- Khalifah bermaksud pengganti yang merujuk kepada pengganti kepada makhluk yang terdahulu iaitu jin kepada manusia dimana sebelum dijadikan manusia, Allah s.wt menjadikan jin[2] untuk mentadbir dimuka bumi ini. Disebabkan puak-puak jin telah melakukan kerosakan dan kejahatan maka Allah s.w.t menyatakan untuk menjadikan dari kalangan manusia sebagai khalifah bagi menggantikan mahkluk jin tersebut.

- Ayat ini juga menjadi hujah atau dalil yang amat kuat kepada para ulama dalam masalah perlunya negara dan pemerintahan Islam. Ayat ini juga menjadi dalil dan hujah bahawa menegakkan pemerintahan Islam itu adalah wajib. Ini adalah kerana tujuan Allah s.w.t menjadikan khalifah dari kalangan manusia adalah untuk memelihara agama dan mentadbir bumi ini dengan hukum daripada Allah s.w.t. sepertimana pengisytiharan yang telah Allah s.w.t buat ketika hendak menjadikan nabi Adam a.s.

- Para ulama’ berpendapat, perkara ini disebut sebagai menegakkan agama dan siasah dunia dengannya (dengan agama). Mengikut istilah sekarang dipanggil politik, adapun mengikut istilah islam dipanggil imamah ataupun kepimpinan ataupun boleh juga dipanggil siasah. Perkataan siasah adalah bersamaan maksud dengan perkataan khilafah. Perkataan khilafah pula adalah terbitan daripada perkataan khalifah yang bermaksud menegakkan agama dan mentadbir dunia dengannya.

- Disini menunjukkan serta menjelaskan lagi kepada kita betapa bahayanya jikalau kita berpendapat bahawa di dalam Islam itu tiada politik atau lebih jelasnya tiada pemerintahan Islam. Ini adalah kerana perkara ini thabit dengan nas al-Quran[3], hadith nabi serta ijma’ para sahabat. Mengengkarinya samalah seperti engkar kepada perintah solat, puasa dan lain-lain daripada tuntutan yang telah Allah s.w.t tetapkan kepada hambanya. Antara hadith yang menjadi dalil tentang perkara ini sepertimana sabda nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: “tidak harus bagi tiga orang musafir dengan tidak melantik salah seorang daripadanya menjadi ketua”. Kalau bertiga tidak dapat tidak mesti ada ketua, bagaimana pula dengan beribu-ribu atau berjuta-juta orang dalam sesebuah negara.

- Maka jelaslah dengan mafhum hadith di atas tadi bahawa menegakkan negara Islam itu thabit dengan nas hadith Rasullullah s.a.w dan sememangnya menjadi amalan nabi kita. Nabi Muhammad s.a.w sendiri telah menegakkan negara Islam. Kalau mengikut istilah ilmu undang-undang antarabangsa hari ini pun sebenarnya telah mengiktiraf bahawa Rasullullah s.a.w telah menegakkan sebuah negara.

- Ini adalah kerana, mengikut penilaian mereka, sesebuah negara tidak boleh dinamakan sebagai negara ataupun daulah melainkan ada 5 syarat yang mana 5 syarat tersebut sudah dipenuhi dengan sempurna oleh kerajaan Islam di Madinah yang dipimpin oleh Rasullullah s.a.w.

- Pertama, mesti ada negeri yang mana merujuk kepada negeri Madinah.

- Kedua, mesti ada rakyat yang merujuk kepada kaum Muhajirin dan kaum Ansar.

- Ketiga, mesti ada pemimpin yang merujuk kepada Rasullullah s.a.w sendiri.

- Keempat, mesti ada perlembagaan atau undang-undang yang merujuk kepada al-Quran yang telah diwahyukan oleh Allah s.w.t .

- Kelima, mesti ada kedaulatan. Kedaulatan dalam bahasa arab dinamakan sebagai “syakhsiyyah maknawiyyah” yang bermaksud keperibadian sebagai sebuah negara (Islam). Dalam istilah bahasa melayu bermaksud negeri yang berdaulat dengan makna dunia mengiktiraf negara yang ditegakkan itu sebagai sebuah negara yang mana merujuk kepada kabilah-kabilah arab yang menghantar rombongan bertemu dengan Rasullullah s.a.w. Ini menunjukkan bahawa Madinah itu diiktiraf sebagai sebuah negara.

- Maka dengan ini jelaslah bahawa negara yang didirikan oleh Rasullullah s.a.w adalah sah dari segi ilmu politik dan ilmu undang-undang antarabangsa yang ada pada hari ini.

- Seterusnya dalil daripada ijma’ para sahabat ketika mana wafatnya Rasullullah s.a.w hanya beberapa orang sahaja sahabat-sahabat yang mengkebumikan jenazah Rasullullah s.a.w. Ini termasuk Saidina Ali, Saidina Abbas dan beberapa orang yang lain daripada kaum keluarga baginda sedangkan Saidina Abu Bakr, Saidina Umar, Saidina Uthman dan sebahagian besar para sahabat yang lain tidak pergi untuk menguruskan jenazah Rasullullah s.a.w.

- Mereka terus bermesyuarat di Sakifah Bani Sa’idah bagi melantik ketua negara yang memerintah mengikut hukum Islam menggantikan Rasullullah s.a.w dan tidak ada seorang pun dari para sahabat yang engkar.

- Malah mereka berkata bahawa wajib bagi orang Islam menegakkan negara Islam sehingga ada selepas itu kabilah-kabilah arab yang murtad (tidak mahu menegakkan negara Islam), dilancarkan serangan keatas mereka.

- Dalam hadith Rasullullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Ubadah b. al-Somit yang menggambarkan perjanjian yang dibuat oleh para sahabat yang dikenali sebagai perjanjian ‘Aqabah, mereka berkata: “dan bahawa kami berjanji tidak akan membantah dalam urusan yang akan diberikan kepada ahlinya”. Ertinya mereka tidak akan derhaka kepada kerajaan yang menegakkan pemerintahan Islam dan berikrar taat setia walaumacamana zalim sekalipun, mereka tetap taat melainkan sekiranya kamu lihat pemerintah itu melakukan kufur yang nyata.

- Kufur yang nyata umpamanya melarang orang mengerjakan sembahyang, melarang orang berpuasa atas dasar boleh menjejaskan kerja dan sebagainya, melarang orang pergi haji atas alasan boleh menjejaskan ekonomi.

- Menurut al-Syeikh Muhammad al-Amin al-Syamqiqi di dalam kitabnya “ Adwa’ al-Bayan fi Idhahil Quran bi al-Quran”, antara kufur yang nyata itu adalah apabila pemerintah meninggalkan hukum Islam lalu menggantikannya dengan hukum ciptaan manusia.

- Lalu malaikat melahirkan rasa tidak bersetuju dengan mengatakan :

قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ

- Bermaksud secara tersirat mengapa tidak perintahkan kami sahaja tinggal dimuka bumi sebagai khalifah. Mengapa perlu mencipta makhluk lain yang mana makhluk yang baru ini sudah diilhamkan dalam pemikiran malaikat sebagai mahkluk yang akan melakukan kerosakan dan kejahatan seperti makhluk yang sebelum itu.

- Lalu Allah s.w.t menjawab:

قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لا تَعْلَمُونَ

Dimana Allah s.w.t menyatakan kepada malaikat bahawa “Aku lebih tahu apa yang kamu tidak tahu”.

- Diatas muka bumi ini terdapat beberapa perkara yang perlu ditadbirkan dimana para malaikat tidak boleh tadbir. Antaranya ada kerja menangkap ikan, bercucuk tanam, berniaga dan lain-lain yang mana kesemua ini bukan jenis amalan yang mampu dilakukan oleh para malaikat.

- Bahkan perkara tersebut tidak sesuai dengan kejadian dan sifat semulajadi yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dimana para malaikat itu dijadikan daripada nur (cahaya), tidak lelaki dan tidak perempuan. Tidak makan dan minum. Maka tidak layaklah para malaikat ditugaskan menjadi khalifah diatas muka bumi ini.

- Walaupun para malaikat mendakwa bahawa mereka sentiasa mengucapkan tasbih dan tahmid memuji Allah s.w.t, tetapi Allah memilih nabi Adam a.s dari kalangan manusia menunjukkan bahawa untuk mentadbir dibumi bukan cukup sekadar mengucap tasbih sahaja.

Waallahu a’lam



[1] Al-Nasafi, Tafsir al-Nasafi (Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Takwil) (1999), J. 1, mk 77

[2] Ini adalah kerana jin menetap dibumi dahulu sebelum nabi Adam dijadikan. Apabila puak-puak jin ini melakukan kejahatan dan pertumpahan darah, maka Allah mengarahkan tentera iblis membunuh mereka serta menghalau mereka ke laut dan kepuncak-puncak bukit. Lihat Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 189. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azim (1997), J.1, mk 61.

[3] Seperti ayat ke 30 ini.

Wednesday, May 11, 2011

Nota kelas Tilawah tafsir ( al-Baqarah 28-29)

بسم الله الرحمن الرحيم

1. Ayat 28 :

- Ayat ini dengan jelas menggambarkan kekafiran terhadap Allah s.w.t setelah berdepan dengan berbagai-bagai dalil dan menerima berbagai-bagai ni’mat itu adalah satu kekafiran yang amat buruk dan keji[1].

- Berdasarkan ayat ini, al-Quran sekali lagi membuktikan kepada mereka dengan kisah perjalanan hidup mereka dan peringkat-peringkat perkembangan kewujudan mereka yang mana dahulunya mereka mati kemudian dihidupkan dan seterusnya dimatikan kembali dan kemudian dihidupkan kembali semula.

- Setelah asalnya semua makhluk itu mati, kehidupan pertama bermula didalam rahim ibu dan selepasnya sehinggalah dimatikan ketika sampainya ajal. Kemudian dibangkitkan semula sebagai kehidupan yang kedua pada hari qiyamat di padang Mahsyar.[2]

- Perkataan تُرْجَعُونَ dalam tatabahasa arab merupakan “mabni lil majhul” ( dibina untuk disembunyikan) bermaksud kamu dikembalikan oleh Allah dengan cara yang majhul (tidak diketahui) samada ke syurga ataupun ke neraka. Dalam ayat lain Allah s.w.t berfirman [3]:

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثاً وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: Adakah kamu menyangka bahawa kami jadikan kamu main-main sahaja dan kamu menyangka bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?

2. Ayat 29 :

- Ayat ini merupakan ayat yang menjadi dalil ketuhanan Allah s.w.t dan diantara tanda ketuhanan Allah s.w.t ialah menjadikan makhluk.

- Antara makhluk yang dijadikan oleh Allah s.w.t ialah bumi dan langit dan bukan sahaja menjadikan bumi tetapi menjadikan segala benda yang ada pada bumi.

- Al-Fuqaha’ menjadikan ayat ini sebagai dalil bahawa semua yang ada diatas muka bumi ini asalnya halal kecuali bila ada nas yang menyatakan haram, maka jadi haramlah ia.

- Semua yang ada diatas muka bumi ini adalah bagi kita samada yang terbang di udara, yang merayap, berjalan, tumbuh ataupun yang tertanam di dalam perut bumi seperti galian iaitu bijih timah, emas, besi, minyak, uranium dan seumpamanya.

- Oleh itu, apabila sedang mencari rezeki kita perlu semestinya ingat bahawa Allah s.wt yang menyediakan kesemua segala apa yang ada dimuka bumi ini untuk manusia sekaligus mengakui bahawa Allah s.w.t adalah tuhan kita yang tidak ada tuhan melainkan Dia.

- Maksud kalimah اسْتَوَى adalah merupakan lambang kekuasaan Allah s.w.t dan menggambarkan maksud Allah s.w.t hendak mencipta langit.[4]

- Ayat ini juga membuktikan bahawa kejadian langit adalah daripada Allah s.w.t dan mempunyai tujuh lapisan. Tetapi dalam memahami ayat ini bukan menjadi fokus utama untuk berbicara dengan panjang lebar tentang makna sebenar اسْتَوَى . Begitu juga untuk berbicara tentang makna tujuh langit[5], tentang rupa bentuknya, ukuran besar kecil, tinggi rendah atau dimensinya kerana memadailah dengan maksud yang umum itu sahaja kerana fokus utama adalah tujuan Allah s.w.t mencipta alam semesta ini termasuk langit dan bumi adalah untuk ditayangkan bagi maksud mengecam sikap orang kafir yang mensyirikkan Allah s.w.t yang telah menjadikan segala isi bumi untuk mereka dan mengaturkan urusan langit dan bumi dengan cara yang membolehkan semua makhluk yang bernyawa hidup rehat di bumi ini.

- Sebagai seorang islam, kita sepatutnya percaya kepada apa yang ada nas sahaja daripada al-Quran dan al-Hadith. Al-Quran tidak menyatakan langit itu diperbuat daripada apa begitu juga al-Hadith. Justeru, kita hanyalah percaya bahawa langit itu ada dan yang dikatakan langit itu adalah benda yang diatas kita serta ada 7 lapisan.[6]

- Ayat ini juga hanya menerangkan langit sahaja yang mempunyai 7 lapisan bukan bumi. Walau bagaimanapun terdapat satu ayat yang menunjukkan bahawa bumi pun mempunyai tujuh lapisan[7] sepertimana firman Allah s.wt yang berbunyi[8]:

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَمِنْ الأَرْضِ مِثْلَهُنَّ

Maksudnya: Allah yang mencipta 7 petala langit dan menciptakan bumi seperti itu juga.

- Disokong pula dengan hadith yang menerangkan bahawa bumi itupun mempunyai 7 lapisan, antaranya[9] :

روى مسلم عن سعيد بن زيد قال: سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : من أخذ شبرا من الأرض ظلما طُوِّقه إلى سبع أرضين

Maksudnya: barang siapa yang mengambil satu jengkal daripada bumi dengan zalim maka Allah akan lipatkan keatasnya pada hari qiyamat dengan tujuh lapis bumi.

- Ayat ini juga menyebut بِكُلِّ yang memberi maksud Allah s.w.t mengetahui tiap-tiap sesuatu bukan sekadar sesuatu sahaja yang menunjukkan pengetahuanNya adalah tidak terhingga. Begitu juga dengan kalimah شَيْءٍ yang tidak dimasukkan alif dan lam[10] yang menunjukkan terlalu umum dengan makna Allah s.w.t pengetahuannya meliputi tiap-tiap sesuatu samada sesuatu yang diketahui ataupun sebaliknya.

Wallahu ‘alam…..



[1] Iaitu kekafiran yang tiada mempunyai sebarang alasan dan sandaran

[2] Sa’id Hawwa, al-Asas fi al-Tafasir (1991), J. 1, mk 101.

[3] Al-Mu’minun, ayat 115.

[4] Al-Syahid Sayyid Qutb, fi Zilal al-Qur’an : Surah al-Baqarah (1), (1988), mk 189

[5] Antara perbahasan tentang kejadian langit dan bilangannya sebanyak tujuh itu mereka mengatakan langit itu adalah apa-apa yang ada diatas kepala kita. Ada juga yang berpendapat langit itu adalah awan dan tidak kurang juga yang menyatakan bahawa langit itu adalah bintang yang tujuh iaitu Utarid (Mercury), Zuhrah, Marikh (Mars), Musytari (Jupiter), Zuhal (Saturn), Uranus dan Neptune. Ada sebahagian pula yang mengatakan tujuh langit itu terdiri daripada tujuh jenis anasir : langit pertama dari jenis gelombang yang berlapis-lapis, langit kedua dari jenis batu marmar yang putih, langit ketiga dari jenis besi, langit keempat dari jenis tembaga kuning, langit kelima dari jenis perak, langit keenam dari jenis emas dan langit ketujuh dari jenis batu permata yakut yang merah. Lihat Ahmad Sonhadji Mohamad, ‘Abr al-Athir (1992), J. 1, mk 61.

[6] Maksudnya, apa yang diberitahu oleh al-Quran dan al-Hadith kita percaya dan apa yang tidak diberitahu terserahlah kepada manusia untuk mengkajinya.

[7] Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir (1991), J. 1-2, mk 122, lihat juga Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 179

[8] Al-Talaq, ayat 12.

[9] Al-Qurtuby, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an (1996), J. 1-2, mk 179.

[10] Menjadi isim nakirah, jikalau dimasukkan alif dan lam menjadi isim ma’rifah yang membawa kepada sesuatu yang khusus.