Monday, December 28, 2009

RIWAYAT HAFS B. SULAYMAN AL-KUFI (3)

KITAB YANG MERIWAYATKAN SANAD DARIPADA HAFS B. SULAYMAN.

Riwayat ini sebenarnya mempunyai berbagai turuq yang membentuk satu cara pembacaan yang diakui sahnya sebagai riwayat Hafs b. Sulayman al-Kufi. Walaupun begitu, kajian ini hanya membincangkan turuq yang terdapat di dalam kitab al-Nashr fi Qira’at al-‘Ashr, cet. 1, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, karangan Muhammad b. Muhammad b. ‘Ali b. Yusuf al-Jazari. Kitab ini menyatakan dengan jelasnya bahawa riwayat ini mempunyai lima puluh dua turuq yang berbeza pewaris riwayat.

Kitab ini juga mengambil sumber daripada tujuh belas kitab lain[1] dalam mengukuhkan hujah pengarangnya untuk memperjelaskan kepada masyarakat Islam bahawa riwayat ini bukan hanya mempunyai satu bentuk bacaan sahaja tetapi hakikatnya, ianya mempunyai berbagai-bagai turuq yang membentuk apa yang dikatakan sebagai riwayat Hafs b. Sulayman al-Kufi . Berikut adalah nama tujuh belas kitab tersebut dan pengarangnya[2]:

1) Al-Taisir fi al-Qira´at al-Sab’i : al-Imam al-Hafiz al-Kabir Abu ‘Amru ‘Uthman b. Sa’id al-Dani[3] yang meriwayatkan dua tariq sahaja iaitu daripada turuq al-Hashimi dan Zar’an. Meninggal di tempat yang bernama Daniah, Sepanyol pada tahun 444 hijrah.

2) Al-Shatibiyyah : Qasidah al-Lamiyyah[4] yang dikenali dengan nama “Hirz al-´Amani wa Wajh al-Tahani” karangan al-Imam Abu al-Qasim al-Ru’aini al-Andalusi yang meriwayatkan satu tariq sahaja iaitu daripada turuq al-Hashimi. Meninggal dunia di Kaherah, Mesir pada tahun 590 hijrah.

3) Talkhis al-‘Ibarat fi al-Qira´at al-Sab’i : Karangan al-Imam Abu ‘Ali al-Hassan b. Ballimah al-Hawari al-Qairuni yang meriwayatkan satu tariq sahaja daripada turuq al-Hashimi. Meninggal dunia di Iskandariah, Mesir pada tahun 514 hijrah.

4) Al-Tazkarah fi al-Qira´ati al-Thaman : Karangan al-Imam Abu al-Hassan Tahir b. al-Imam Abu al-Tayyib Ghalbun al-Halabi yang meriwayatkan satu tariq sahaja daripada turuq al-Hashimi. Meninggal dunia di Mesir pada tahun 399 hijrah.

5) Al-Tajrid fi al-Qira´at al-Sab’i : Karangan al-Imam Abu al-Qasim ‘Abd al-Rahman al-Saqli[5] yang meriwayatkan empat tariq. Tiga daripada turuq al-Hashimi dan satu daripada turuq Zar’an. Meninggal dunia di Iskandariah, Mesir pada tahun 516 hijrah.

6) Al-Raudah al-Qira´at al-‘Asyr wa qira´ati al-´A’masy : Karangan Abu al-Hassan ‘Ali b. al-Hassan b. Muhammad b. Ibrahim al-Baghdadi al-Maliki[6] yang meriwayatkan dua tariq sahaja iaitu daripada turuq al-Hashimi dan Zar’an. Meninggal dunia di Mesir pada tahun 438 hijrah.

7) Al-Mubhaj fi al-Qira´ati al-Thaman wa qira´ati al-´A’masy wa Ibn Muhaisin wa ikhtar khalaf wa al-Yazidiy : Karangan al-Imam Abu Muhammad ‘Abd Allah Sabt al-Khiyat al-Baghdadi[7] yang meriwayatkan dua tariq sahaja iaitu daripada turuq al-Hashima dan al-Fil . Meninggal dunia pada tahun 541 hijrah.

8) Al-Kifayah fi al-Qira´ah al-Sitt : Sebuah lagi kitab karangan Sabt al-Khiyat yang meriwayatkan satu tariq sahaja iaitu daripada turuq Abu Tahir.

9) Al-Jami’ fi al-Qira´at al-‘Asyr wa qira´ati al-´A’masy: Karangan Abu al-Hassan ‘Ali b. Muhammad b. ‘Ali b. Faris al-Khiyat al-Baghdadi[8] yang meriwayatkan empat tariq iaitu satu daripada turuq al-Hashimi, satu daripada Abu Tahir dan dua daripada Zar’an. Meninggal dunia pada tahun 450 hijrah.

10) Al-Tazkar fi al-Qira´at al-‘Asyr : Karangan al-Imam Abu al-Fath ‘Abd al-Wahid b. al-Hussin b. AÍmad b. ‘Uthman b. Shita al-Baghdadi[9] yang meriwayatkan empat tariq iaitu dua daripada turuq Abu Tahir, satu daripada al-Fil dan satu daripada Zar’an. Meninggal dunia pada tahun 445 hijrah.

11) Al-´Irsyad fi al-Qira´at al-‘Asyr : Karangan al-Imam Abu al-‘Izz Muhammad b. al-Hussin b. Bundar al-Qalanisi al-Wasiti[10] yang meriwayatkan dua tariq yang mana kedua-duanya daripada turuq Abu Tahir. Meninggal dunia pada tahun 521 hijrah.

12) Kifayah al-Kubra fi al-Qira´at al-‘Asyr : Sebuah lagi kitab karangan Abu al-‘Izz yang meriwayatkan empat tariq iaitu dua daripada turuq Abu Tahir, satu daripada al-Fil dan satu daripada Zar’an.

13) Ghayah al-´Ikhtisar fi al-Qira´at al-‘Asyr : Karangan al-Imam Abu al-‘Ali´ al-Hassan b. Ahmad b. Muhammad al-‘Attari al-Hamadani[11] yang meriwayatkan empat tariq iaitu dua daripada turuq Abu Tahir, dua daripada al-Fil dan dua daripada Zar’an. Meninggal pada tahun 569 hijrah.

14) Al-Misbah fi al-Qira´at al-‘Asyr : Karangan al-Imam Abu al-Kiram al-Mubarak b. al-Hassan b. Ahmad al-Syahrazuri al-Baghdadi [12] yang meriwayatkan enam tariq iaitu dua daripada turuq Abu Tahir, dua daripada al-Fil dan dua daripada Zar’an. Meninggal pada tahun 550 hijrah.

15) Al-Mustanir fi al-Qira´at al-‘Ashr : Karangan al-Imam Abu Tahir Ahmad b. Suwar al-Baghdadi[13] yang meriwayatkan lapan tariq iaitu satu daripada turuq al-Hashimi, lima daripada al-Fil dan dua daripada Zar’an. Meninggal di Baghdad pada tahun 496 hijrah.

16) Al-Wajiz fi al-Qira´at al-‘Ashr : Karangan al-Imam Abu ‘Ali al-Hassan al-´Ahwazi[14] yang meriwayatkan satu tariq sahaja iaitu daripada turuq al-Fil. Meninggal di Damsyik pada tahun 446 hijrah.

17) Al-Kamil fi al-Qira´at al-‘Asyr wa al-´Arba’ al-Za´idah ‘alaiha : Karangan al-Imam Abu al-Qasim Yusuf b. ‘Ali al-Huzali al-Maghribi[15] yang meriwayatkan lima tariq iaitu dua daripada turuq al-Hasyimi, satu daripada Abu Tahir dan dua daripada al-Fil. Meninggal di Naisaburi pada tahun 465 hijrah.



[1] Hanya melibatkan riwÉyat ×afÎ b. SulaymÉn al-KËfÊ sahaja

[2] AbË‘Abd al-RaÍmÉn RiÌÉ ‘AlÊ DarwÊsh dan AbË Sahl SÉmiÍ b. AÍmad b. MuÍammad, (2000), op., cit., h. 46-47.

[3] Dikenali sebagai al-DÉnÊ

[4] Kitab QirÉ´Ét pertama yang dipersembahkan dalam bentuk syair yang setiap huruf akhir pada kalimah yang terakhir di setiap bait diakhiri dengan huruf lÉm

[5] Dikenali sebagai Ibn al-FiÍÍÉm.

[6] Dikenali sebagai AbÊ ‘AlÊ al-MÉlikÊ

[7] Dikenali sebagai SabÏ al-KhiyÉÏ

[8] Dikenali sebagai Ibn FÉris.

[9] Dikenali sebagai Ibn ShÊtÉ

[10] Dikenali sebagai Abi al-‘Izz

[11] Dikenali sebagai AbÊ al-‘AlÉ´

[12] Dikenali sebagai AbÊ al-Kiram

[13] Dikenali sebagai Ibn SuwÉr

[14] Dikenali sebagai al-´AhwÉzÊ

[15] Dikenali sebagai al-HuzalÊ

Thursday, December 24, 2009

PERSOALAN MAD WAL QASR (5)

MAD MUNFASIL

Mad munfasil adalah salah satu bahagian mad yang hukumnya harus.[1] Harus di sini bermaksud pemanjangannya harus dibaca dengan qasr (dua harakat) dan dengan mad (atas daripada dua harakat).[2] Kebanyakkan masyarakat masih keliru tentang maksud harus pada mad munfasil. Ini adalah kerana mereka menjadikan pengertian harus adalah khusus untuk riwayat Hafs sahaja, sedangkan pengertiannya merangkumi semua imam yang ada.

Maka dengan kefahaman yang salah itu akan lahirlah ungkapan bahawa mad munfasil itu harus hukumnya iaitu harus dibaca empat dan lima harakat di sisi riwayat Hafs. Sekali imbas kita akan bersetuju dengan kenyataan tersebut, tetapi dari segi kefahaman ilmu Qira’at yang sebenar, kenyataan tersebut mungkin tersasar sedikit kerana pengertian harus tidak boleh dikhususkan kepada imam tertentu. Ianya adalah pengertian yang umum terhadap semua qira’at.

Ungkapan sebenar yang selari dengan disiplin ilmu Qira’at ialah mad munfasil adalah mad yang harus hukumnya. Harus disini bermaksud harus dibaca secara qasr (dua harakat) ataupun mad (atas daripada dua harakat). Manakala imam Hafs memilih (secara ikhtiyar) untuk membaca dengan empat dan lima harakat. Ini menggambarkan secara dasarnya, apabila membicarakan tentang hukum mad, ia meliputi semua qira’at dan apabila membicarakan tentang pilihan atau ikhtiyar sesuatu kadar pemanjangan, ia bersandarkan ikhtiyar imam tertentu.

Dalam memperbahaskan perbezaan kadar bacaan mad munfasil di antara Tariq al-Shatibiyyah dan al-Jazariyyah menurut riwayat Hafs, penulis ingin memperjelaskan dahulu komentar kedua-dua imam di dalam kitab masing-masing. Imam al-Shatibi di dalam syairnya mengatakan[3] :

فَإِنْ يَنْفَصِلْ فَاْلقَصْرَ بَادِرْهُ طَالِبًا بِخُلْفِهِمَا يُرْوِيْكَ دَرًّا وَمُخْضَلاَ

Maksudnya: “Sekiranya melibatkan munfasil maka dibaca qasr oleh Qalun dan al-Duri Abu ‘Amru secara khilaf[4] dan al-Susi dan Ibn Kathir secara tetap”.

Kefahaman yang dapat diambil daripada bait syair di atas bahawa di sisi imam al-Shatibi melalui riwayat Hafs tidak membaca secara qasr pada mad munfasil. Kerana itulah tiada nama imam Hafs mahupun gurunya ‘Asim pada bait syair tersebut. Ikhtiyar beliau terhadap mad munfasil di sisi imam Hafs dikenal pasti dengan istilah pemahaman penulisan syair yang merujuk kepada empat harakat[5]. Kenyataan ini juga disokong oleh al-Sakhawi melalui sanad bacaannya yang secara langsung diambil daripada imam al-Shatibi.[6]

Manakala Ibn al-Jazari pula berkata[7]:

وَقَصْرُ اْلمُنْفَصِلْ بِنْ لِي حِماً عَنْ خُلْفِهِم دَاعٍ ثَمِلْ

Maksudnya: “Dan dibaca secara qasr pada munfasil oleh Qalun, Hisyam, Abu ‘Amru, Ya’qub, Hafs secara khilaf, manakala Ibn Kathir dan Abu Ja’far secara tetap”.

Melalui kefahaman syair di atas, dapat difahami bahawa mad munfasil di sisi Tariq al-Jazariyyah dibaca dua harakat secara khilaf yang merujuk kepada empat dan lima harakat. Bagi lima harakat mengambil kira kata-kata beliau sebelum itu yang berbunyi[8]:

وَقِيلَ دُونَهُمْ نَلْ

Maksudnya: “Dan ada pendapat yang mengatakan lima harakat bagi ‘Asim”

Manakala empat harakat pula diambil kira dari kata-kata beliau yang berbunyi[9]:

وَعَنْ بَاقِي اْلمَلاَ وَسِّطْ

Maksudnya: “ Dan baki imam yang lain membaca (muttasil dan munfasil) secara tawassut iaitu empat harakat.

Kesimpulannya, mad munfasil di sisi Hafs melalui Tariq al-Shatibiyyah adalah empat harakat secara muktamad manakala melalui Tariq al-Jazariyyah adalah dua, empat dan lima harakat. Ikhtiyar kedua-dua tariq ini juga menepati pengertian mad pada mad munfasil yang harus hukumnya iaitu harus dibaca qasr (dua harakat) dan mad (atas dari dua harakat).

Penulis ingin mengakhiri kajian tentang bab mad muttasil dan munfasil ini dengan menyenaraikan beberapa kitab Qira’at yang secara terang dan jelas menyatakan bahawa mad muttasil dan munfasil di sisi riwayat Hafs melalui Tariq al-Shatibiyyah adalah muktamad empat harakat sahaja dan bukan empat dan lima harakat seperti sangkaan sesetengah pendapat kerana lima harakat sebenarnya lebih tepat dikatakan sebagai ikhtiyar Tariq al-Jazariyyah.[10] Ini adalah kerana sumber lima harakat adalah diambil daripada kitab al-Taisir sepertimana yang telah dijelaskankan di dalam kandungan kita-kitab syarahan matan al-Shatibiyyah.

Justeru penjelasan ini diharap dapat membuka minda pemikiran masyarakat daripada hanya mengikut kefahaman yang umum tanpa hujah yang kukuh kepada kefahaman yang dibentuk secara ilmiah bertunjangkan hujah dan dalil yang terang. Antara kitab tersebut adalah:

1) al-Irshadat al-Jaliyyah fi al-Qira´at al-Sab’ min Tariq al-Shatibiyyah karangan Dr. Muhammad Salim Muhaysin[11]

2) al-Manh al-IIahiyyah fi Jam’ al-Qira´at al-Sab’ min Tariq al-Shatibiyyah karangan Khalid b. Muhammad al-Hafiz al-‘ilmi al-Husaini.[12]

3) Mukhtasar Bulugh al-’Umniyyah ‘ala Nazm Tahrir masail al-Shatibiyyah karangan ‘Ali Muhammad al- Dhiba’.[13]

4) al-Wafi fi Sharh al-Shatibiyyah fi al-Qira’at al-Sab’, karangan ’Abd al-Fatah al- Qadhi.[14]

5) al-Budur al-Zahirah, juga daripada karangan ’Abd al-Fatah al- Qadhi.[15]

6) Siraj al-Qari al-Mubtadi wa Tazkar al-Muqri´ al-Muntahi, karangan Ibn al-Qasih[16]

7) al-Nafahat al-´Ilahiyyah fi Sharh matn al-Shatibiyyah , karangan MuÍammad Abd Dayim Khamis[17]

8) Ittihaf Fudala’ al-Bashar bi al-Qira’at al-’Arba‘ah ‘Ashar, karangan al-Banna.[18]

9) Ghaith al-Naf’ fi al-Qira’at al-Sab‘, karangan al-Safaqisi.[19]

10) Tanbih al-Ghafilin wa Irshad al-Jahilin, juga karangan al- Safaqisi.[20]



[1] Antara mad yang dihukum harus (jÉ´iz) ialah mad badal, mad ‘ÉriÌ lisukun dan mad lÊn. Justeru adalah menjadi kesalahan jika kita menamakan mad munfaÎil dengan panggilan mad jÉ´iz kerana bukan mad munfaÎil sahaja yang dihukumkan jÉ´iz. Sebaiknya dipanggil dengan mad munfaÎil sahaja kerana itulah namanya manakala jÉ´iz adalah hukumnya. Mengikut kajian penulis (sepertimana dalam bab mad muttaÎil sebelum ini) terhadap kandungan sebahagian besar kitab QirÉ’Ét apabila membicarakan tentang mad, pasti menamakan mad munfaÎil dan mad muttaÎil. Perkataan wajib dan jÉ´iz akan menyusul kemudian ketika mana membicarakan hukumnya. Adapun sesetengah buku-buku tajwid yang menamakan mad munfaÎil sebagai mad jaiz dan mad muttaÎil sebagai mad wajib kerana mengikut kefahaman orang awam yang sudah sebati dengan keadaan sebegitu. Kefahaman yang sedikit mengelirukan ini juga akan membuka ruang kepada kesalahan dalam memahami bab mad ini.

[2] ØÉbir ×assan MuÍammad AbË SulaymÉn, (1997), ‘Umdah al-BayÉn fi TajwÊd al-Qur’an, cet. 1, RiyÉÌ: DÉr ‘Ólim al-Kutub, hal.122.

[3] al-ShÉÏibÊ, (1999), op. cit. h. 14

[4] Mempunyai ikhtiyÉr yang lain

[5] Pemahaman kaedah penulisan syair ini hanya difahami oleh mereka yang mendalami kaedah matan syair tersebut. Walau bagaimanapun dengan munculnya kitab-kitab syarahan bagi matan al-ShÉÏibiyyah maka memadai dengan melihat syarahannya sahaja tanpa perlu memahami kaedah tersebut. Lihat SayyÊd LÉshÊn AbË al-FarÍ dan KhÉlid MuÍammad al-×ÉfiÐ, (1998), TaqrÊb al-Ma’ÉnÊ fÊ SharÍ ×irz al-AmÉnÊ fÊ al-QirÉ´Éh al-Sab’, cet. 2, Madinah, Maktabah DÉr al-ZamÉn, h. 67.

[6] Sila lihat penjelasannya pada bab Mad MuttaÎil.

[7] al-JazarÊ , (1994), op. cit. h.42

[8] Ibid.

[9] Ibid.

[10] Sila lihat : Felza Zulhibri Abd Hamid (2005), ops. cit., h. 12

[11] Dr. Muhammad Salim Muhaisin, (1997), al-Irshadat al-Jaliyyah fi al-Qira´ati al-Sab’ min Ùariqi al-Shatibiah, Kaherah: Maktabah al-Azhariyah lil Thurath, h. 25.

[12] ×usaini, Khalid b. Muhammad al-HafiÐ al-‘IlmÊ al-, (1998), al-ManÍ al-’IlÉhiyyah fi jam‘ al-QirÉ’Ét al-Sab‘ min ÙarÊq al-ShÉÏibiyyah, MadÊnah al-Munawwarah: DÉr al-ZamÉn, h. 22

[13] al-ÖhibÉ’, (1999), op. cit.

[14] al-QÉÌÊ, (1999), op., cit., h. 73

[15] al-QÉÌÊ, ’Abd al-FatÉÍ, (2008), al-BudËr al-ZÉhirah fÊ al-QirÉ´Ét al-‘Ashr al-MutawÉtirah min ÏarÊqay al-ShÉÏibiyyah wa al-Durrah, (tahqiq: ØabrÊ Rajab Kuraim), Kaherah: DÉr al-SalÉm, j. 1, .h. 26.

[16] Abi al-QÉsim b. ‘AlÊ b. ‘UthmÉn b. MuÍammad b. AÍmad b. al-Hassan al-QÉÎiÍ, (1995), SirÉj al-QÉrÊ al-MubtadÊ wa TazkÉr al-MuqrÊ´ al-MuntahÊ, Beirut: Dar al-Fikr, h. 35.

[17] MuÍammad Abd DÉyim KhamÊs, (1996), op. cit., h. 104

[18] al-BannÉ, (1987), op. cit., j. 1, h. 159.

[19] al-ØafÉqisÊ, Waliy Allah ‘AlÊ al-NËrÊ , (1999), Ghaith al-Naf’ fÊ al-Qira’Ét al-Sab‘, (tahqiq: MuÍammad ‘Abd al-QÉdir SyÉhÊn), BeirËt: DÉr al-Kutub al-‘Ilmiah, h. 26.

[20] al-ØafÉqisÊ, Waliy Allah ‘AlÊ al-NËrÊ, (1974), TanbÊh al-GhÉfilÊn wa IrsyÉd al-JÉhilÊn, (tahqiq: MuÍammad al-SyÉzilÊ al-NÊfar, Kaherah: MuassasÉt Abd al-Karim Abdullah, h. 108.


Wednesday, December 23, 2009

ULASAN ARTIKEL DR. MAZA

Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim
Penulis ialah Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia. Berkelulusan PhD (Fiqh & Usul Fiqh) dari UIA dan Ijazah Sarjana Muda Syariah dalam bidang al-Fiqh wa al-Tasyri' (Universiti of Jordan)

Saya diminta untuk mengulas artikel 'Salah Guna Nama Ijmak' oleh Dr. MAZA dalam Utusan Malaysia, 13 Disember 2009 dalam keadaan saya bukan peminat ruangannya. Di sebabkan tajuknya penting dan dalam bidang saya iaitu ijmak, saya rasa, saya perlu juga memberi komen terhadap tajuk ini. Selamat membaca.

Artikel Dr. Maza : Salah guna nama ijmak
Rujuk di sini
Setiap kali berlaku kebangkitan pemikiran Islam menghadapi cabaran baru sesuatu zaman kita akan dapati para penentang utama kebangkitan pemikiran Islam itu kadang-kala akan terdiri dari kelompok konservatif agama itu sendiri. Mereka ini bimbang jika berlaku kebangkitan umat menghadapi cabaran baru mereka akan dianggap sudah 'tidak laku' atau menghadapi 'tarikh luput' di kerusi-kerusi empuk atas nama agama yang mereka duduk atau pengaruh agama yang mereka kuasai.

Mungkin juga yang menentang itu mereka yang bimbang apabila berlaku reformasi umat dalam mengembalikan ajaran Islam kepada sumbernya yang tulen iaitu al-Quran dan al-Sunnah akan menyebabkan aliran anutan mereka terjejas. Mereka ini biasanya terdiri dari kelompok tarekat, juga kelompok agama yang selalu mengenakan caj atau bayaran yang berbagai-bagai atas nama agama. Mereka ini menjadikan agama sebagai sumber pendapatan. Berbagai petua agama dari kesihatan sehingga kematian dikeluar serentak dengan berbagai bayaran pun dikenakan. Sehingga masyarakat merasa soal dunia atau harta itu kerja kita, soal akhirat atau agama itu kerja golongan agama. Lalu mereka rasa mereka cari harta untuk hidup di dunia, sementara akhirat mereka serahkan kepada kelompok agama ini untuk uruskan dengan bayaran yang diberikan. Maka agama dijadikan alat untuk kuasa dan harta. Sebab itu kelompok ini akan menggunakan senjata agama dalam mempertahankan domain mereka ini.
[Komen Dr. Asmadi: Cara biasa MAZA dalam mengkritik orang-orang Tareqat dan orang-orang agama. Dikaitkan agama sebagai sumber pendapatan. Sebenarnya, ulama-ulama terkenal di Persidangan Fiqh Antarabangsa pun membenarkan pengambilan upah terhadap urusan mengajar agama. Bahkan bila menjemput mereka membentangkan kertas kerja, kita bayar juga pada mereka saguhati. Tak tahulah pula kalau MAZA mengajar di USM, dulu jadi Mufti di Perlis, bagi ceramah dan menulis dilakukan secara FOC 'free of charge'. Kalau dia juga ambil gaji, jadi apa bezanya. Yang ini gaji tetap, yang itu tidak tetap.

Tidak baik mengkritik orang Tareqat secara umum. Apa yang saya kenali, ramai orang-orang Tareqat jujur orangnya. Khususkan tareqat yang macam mana dikritik].

Apabila ada yang menegur, bagi menjaga kedudukan mereka tuduh berbagai tuduhan. Antaranya, pengkritik menyanggahi 'ijmak ulamak'. Maka golongan agama ini mendapat lesen besar untuk bercakap apa sahaja mengenai agama atas alasan mereka adalah ulama, jika menentang pendapat mereka bererti menentang pendapat ulama. Jika menentang pendapat ulama bererti tidak berpegang kepada ijmak ulama. Sesiapa yang tidak berpegang dengan ijmak ulama bererti menolak sumber rujukan Islam yang ketika iaitu selepas al-Quran dan Hadis, al-Ijmak. Kesan, membawa kepada kekufuran.

[Komen Dr Asmadi: Orang yang menyanggah MAZA tidak tuduhpun dia kufur. Cuma kata dia bertentangan dengan Ijmak ulama Nusantara].

Sehingga kita berjumpa orang awam yang disalahfahamkan menyebut 'kita tidak boleh berpandukan al-Quran dan hadis sahaja, kita kena ikut apa kata ustaz kerana ustaz itu ulamak dan kita kenalah ikut ijmak ulama'. Bila ditanya dia apakah itu ijmak ulama? Jawabnya "Pendapat ulama-ulama kita la..". Demikianlah atas kejahilan orang awam, atau sengaja mereka dijahilkan maka sebahagian pihak menikmati lesen besar untuk menggunakan agama atas tiket ijmak ulama. Justeru, wajib kita fahamkan masyarakat apakah itu al-Ijmak atau Ijmak Ulama Mujtahidin yang dijadikan sumber ketiga dalam pengambilan hukum-hukum Islam. Ijmak sebenar itu dijunjung dan dipegang. Cumanya, apakah itu al-Ijmak yang sebenar?

Takrif bagi perkataan al-Ijmak ini di sisi majoriti ulama ialah "Kesepakatan seluruh para mujtahidin (ahli ijtihad) dalam kalangan umat Muhammad s.a.w, selepas kewafatan baginda, pada sesuatu zaman, mengenai sesuatu hukum syarak". (lihat: Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/490, Beirut: Dar al-Fikr). Inilah takrif ijmak. Kita akan temuinya atau takrif yang hampir menyamainya dalam hampir semua buku usul fekah klasik dan semasa.

[Komen Dr Asmadi: Kitab Sheikh Wahbah al-Zuhaili itu rujukan kami ketika tahun 1 dan 2 Kuliah Syariah. Ia rujukan sekunder, bukan rujukan utama. Bila tahun 3 dan 4, penulisan guna kitab moden sebagai rujukan tak diberi markah penuh].

Kesepakatan

Dari takrif ini beberapa perkara mesti kita faham sebelum kita menamakan sesuatu perkara itu sebagai ijmak ulama, antaranya; ijmak itu adalah kesepakatan tanpa kecuali seluruh para ahli ijtihad pada sesuatu zaman. Maksudnya, para mujtahidin tanpa mengira perbezaan mazhab fekah, tidak terbatas kepada empat mazhab sahaja, tidak kira di mana berada bersetuju dengan hukum berkenaan. Jika ada yang berbeza pendapat walaupun seorang, maka itu tidak boleh dianggap ijmak. Bayangkan para mujtahid dalam berbagai aliran fikir dan mazhab yang sering berbeza boleh bersepakat dalam perkara tersebut. Maka betapa sukarnya untuk berlakunya ijmak sebenar melainkan dalam perkara-perkara yang jelas nasnya.

Maka sekadar kesepakatan ulama mujtahidin sesuatu mazhab, atau negara tertentu seperti Madinah, atau Mekah, atau Arab Saudi seluruhnya, atau Jordan, atau Indonesia atau Malaysia tidak dianggap ijmak kerana ia bukan kesepakatan seluruh para mujtahid (lihat: Dr 'Abd al-Karim Zaidan, al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 180, Beirut: Muassasah al-Risalah). Maka dakwaan sesetengah kelompok agama di Malaysia bahawa 'arus perdana' atau main stream atau kebiasaan ulama Nusantara itu sebagai ijmak ulama adalah tidak tepat. Juga keputusan majlis fatwa mana-mana negara dalam perkara-perkara ijtihadiyyah (terdedah kepada pandangan yang pelbagai) tidak boleh dianggap ijmak ulama.
[Komen Dr Asmadi: Sekiranya MAZA jumpa kitab-kitab usul fiqh silam atau baca kitab-kitab tersebut (sebaiknya mengadap guru), dia akan jumpa dengan istilah Ijmak al-ummah, ijmak ulama ahl al-sunnah, ijmak empat mazhab, ijmak ahl al-Iraq, Ijmak ulama al-Hijaz dan Ijmak ulama al-Madinah lain-lain. Tidak cukup untuk membuat kesimpulan tentang ijmak dengan hanya merujuk kitab-kitab moden.

Untuk faedah pembaca saya perincikan: Ijmak al-ummah ialah ijmak ulama lapan (8) mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali, Zahiri, Syiah Imami, Syiah Zaidi dan Ibadi (berasal dari serpihan Khawarij). Ijmak ahl al-sunnah ialah kesepakatan keseluruhan 4 mazhab dan Zahiri. Ijmak empat mazhab ialah sepakat empat mazhab yang utama tadi. Jadi kekuatan setiap ijmak tadi ialah bergantung kepada sejauh mana penghujahan setiap kumpulan tersebut.

Oleh itu, boleh kita pakai istilah Ijmak ulama Nusantara atau ijmak ulama India. Cuma kekuatan hujjahnya tidak sekuat ijmak mutlak oleh ulama-ulama setiap tempat di dunia ini].

Kedua, kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya. Mereka ini bukan sekadar muqallid atau hanya sekadar mengikut pendapat atau fatwa orang lain, sebaliknya mereka sendiri berkemampuan merumuskan fatwa dengan ijtihad sendiri, maka kesepakatan mereka ini yang diambil kira. Adapun kesepakatan mereka yang sekadar memakai gelaran ulama sedangkan bukan ahli ijtihad dan masih bergantung kepada fatwa mazhabnya, atau orang lain maka kesepakatan mereka tiada nilaian dalam ijmak kerana mereka bukan mujtahid. Sebab itu Dr Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut: "Tiada dalil wajib mengikut mana-mana imam mazhab sama dari nas al-Quran atau sunnah atau ijmak. Pendapat golongan muqallidin (pengikut mazhab) bahawa wajib mengikut mazhab tidak diambil kira. Ini kerana al-Ijmak yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin" (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu'asir, 38, Beirut: Muassasah al-Risalah).

[Komen Dr Asmadi: Ulama sememangnya sepakat, mazhab orang-orang awam ialah mazhab muftinya. Tidak wajib mengikut mana-mana mazhab. Cuma dalam konteks kita, ramai ustaz-ustaz yakin dengan cara penghujahan Imam Syafie dan anak-anak muridnya. Lantas, ustaz-ustaz pun mengeluarkan pandangan atas pandangan Imam Syafie, maka orang-orang awam pun mengambil pandangan Ustaz tadi yang berpegang dengan mazhab Syafie.

Kata-kata al-Qardhawi: Ini kerana al-Ijmak yang muktabar ialah kesepakatan para mujtahidin pada sesuatu zaman bukan kesepakatan para muqallidin". Benar, kesepakatan yang diiktibarkan (diambil kira) ialah kesepakatan para Mujtahid.

Tapi kata-kata MAZA: 'kesepakatan itu hendaklah kesepakatan para mujtahid iaitu ahli ijtihad bukan tokoh agama, atau ustaz atau tok guru atau penceramah agama semata. Mujtahid bermaksud mereka yang sampai ke peringkat mampu beristinbat (merumuskan) hukum-hukum syarak dari dalil-dalilnya'.

Ulama tidak mensyaratkan para mujtahidin mencapai peringkat mujtahid mutlaq (boleh bina Mazhab sendiri) atau mujtahid tarjih, baru boleh diambil kira ijtihadnya. Imam al-Nawawi, mujtahid tetapi tidak keluar dari Mazhab Syafie. Imam Abu Yusof dan Imam Muhammad adalah mujtahid mazhab, namun tidak keluar dari kaedah Mazhab Hanafi. Justeru, kesepakatan para Mufti yang tahu dalil (walau masih bermazhab) masih boleh diambil kira. Sekiranya diberi kebebasan kepada sesiapa tanpa terikat dengan pandangan Majlis Fatwa, boleh menghuru-harakan masyarakat].

Apabila kita tahu hal ini maka jelaslah bukan senang untuk mendakwa sesuatu perkara sebagai ijmak ulama. Banyak perkara yang didakwa ijmak sebenarnya tidak ijmak. Sesetengah pihak mudah benar menyebut ijmak ulama sedangkan tidak demikian. Umpamanya, dakwaan yang menyatakan ijma ulama wajib hukuman hudud ke atas peminum arak. Padahal ada dalam kalangan ulama mujtahidin yang berpendapat tiada hukuman hudud ke atas peminum arak. Juga dakwaan Ibn Munzir bahawa telah berlaku ijmak menyatakan bahawa zakat harta tidak boleh diberikan kepada bukan muslim juga bercanggah dengan riwayat daripada al-Zuhri, Ibn Sirin dan Ikrimah yang membolehkannya. Inilah apa yang zahir dari mazhab Saidina 'Umar bin al-Khattab. Banyak sentuhan penting lain yang disebut oleh Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai ijmak ini dalam bukunya Taisir al-Fiqh li al-Muslim Mu'asir .

[Komen Dr.Asmadi: Ya, bukan senang mendakwa sesuatu itu ijmak. Perlu kepada banyak pemeriksaan. Hukuman sebat untuk peminum arak adalah sesuatu yang ada nasnya. Ulama hanya khilaf pada mengklasifikasikannya hudud atau takzir].

Banyak perkara yang disebut sebagai ijmak ulama itu padahal hanya pendapat beberapa orang ulama atau ulama mazhab tertentu, atau negara tertentu, atau aliran tertentu, atau majlis fatwa tertentu bukan ijmak sebenar yang wajib kita mematuhinya. Tuduhan sesetengah pihak bahawa si fulan menyanggahi ijmak ulama itu belum tentu benar. Bahkan mungkin tuduhan palsu jika sekadar menyanggahi pendapat ulama kelompok atau aliran atau negara tertentu sahaja. Pandangan ilmuwan atau ulama itu dihormati, tetapi bukanlah sampai ke darjat ijmak yang diwajibkan kita patuh tanpa bantah. Selagi ia bukan ijmak, padangan selainnya bukan diberikan. Kata Dr Wahbah al-Zuhaily: "Kerapkali kita terjumpa dalam buku-buku mazhab fekah seseorang ahli fekah berdalil dengan perkataan al-ijmak (ijmak). Kadangkala kita dapati dalam perkara yang mazhab-mazhab berbeza pendapat, tetapi setiap mazhab mendakwa ijmak menyokong pendapat imam mereka. Ini menjadikan ijmak berlaku dengan banyak. Kata al-Ustaz Abu Ishak al-Isfaraiini: "Kita tahu bahawa masalah-masalah ijmak lebih dari dua puluh ribu. Adakah dakwaan ini benar?! Adakah ini ijmak yang diiktiraf sebagai sumber ketiga syariat islam?! Inikah ijmak yang istimewa berbanding dengan ijmak dalam ilmu lain?! Bagaimanakah mungkin untuk diserasikan perkataan para ahli fekah ini dengan apa yang disebut oleh majoriti ulama Usul fekah bahawa ijmak adalah hujah yang putus menjadi kafir sesiapa yang membantahnya?! Sebenarnya, tidak boleh dipegang ijmak-ijmak fekah ini melainkan setelah dipastikan dan diselidiki. Barangkali yang dikatakan ijmak itu hanya sekadar pendapat kebanyakan, bukan semua mujtahid. Boleh jadi hanya pendapat imam-imam yang empat sahaja, bukan selain mereka. Atau boleh jadi pendapat ulama mazhab tertentu, bukan selain mereka. Atau mungkin mereka tidak tahu ada yang berbeza dengan mereka. Biasanya mereka maksudkan dengan ijmak itu kesepakatan mazhab tertentu" (Dr. Wahbah al-Zuhaili, Usul al-Fiqh al-Islami, 1/488-489).

[Komen Dr Asmadi: Ya, saya setuju].

Maka kita anda memberikan pendapat yang berbeza dengan tokoh agama, atau ustaz atau majlis agama atau tokoh ilmuwan tertentu, bukanlah bererti anda menyanggahi ijmak ulama. Dalam banyak perkara ulama berbeza pendapat, anda berhak memilihnya dengan adil dan faham. Berbeza dengan sesetengah ulama tiada salahnya jika ada alasan yang betul. Apatahlagi jika yang dikatakan ulama itu bukan ulama. Atau ulama, tetapi sekadar muqallidin sahaja. Jangan salahfaham maksud ijmak ulama dan jangan salah guna nama ijmak ulama!

[Komen Dr Asmadi: Orang-orang agama ada dua golongan iaitu pertama yang merasakan diri bukan mujtahid, dan kedua: yang merasa diri mujtahid. Kalau tuan-puan memang yakin dengan ilmu ustaz-ustaz yang merasa diri mujtahid tu dan ketaqwaannya, silalah ikut mereka. Masalah saya ialah saya tak yakin dengan ilmu dan ketaqwaan ustaz-ustaz yang merasakan diri mujtahid tadi. Sebab itu saya masih mengeluarkan pandangan kebanyakkannya dalam Mazhab Syafie disebabkan keyakinan saya pada ilmu dan ketaqwaan (kewarakan) Imam Syafie dan anak-anak muridnya Rahimahumullah.

Seorang ulama masih lagi ulama walaupun dia mengikut mazhab. Mereka di atas dari golongan muqallid iaitu digelar 'muhafiz' atau 'muttabi'' (istilah ini ada dalam kitab primer (utama) dan tidak ada dalam kitab moden), iaitu mengikut mazhab dengan juga melihat dalil. Sebagai contoh, batal wudu' apabila menyentuh isteri. Dia menyedari ada hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW menggerakkan kaki Aisyah yang sedang tidur ketika Rasulullah SAW hendak bersolat tahajjud. Dia berpuas hati dengan hujah Mazhab Syafie yang mengatakan Rasulullah SAW memegangnya dalam keadaan berlapik. Kenapa dia berpuas hati dengan demikian? Kerana secara umumnya adab 'tidur bersama isteri' ialah dalam keadaan berselimut. Padanya, mana mungkin Rasulullah SAW dan isteri bertelanjang. Boleh baca nas-nas lain menceritakan adab tidur bersama isteri dan sunnah memakai 'izar' ketika mandi. Apatah lagi, di Timur Tengah, malamnya suhu melampau, bila dibuka selimut kaki, terasa sejuk sampai ke tulang! Cuma bagi sesetengah orang, dia terbayangkan seolah-olah Rasulullah SAW macam dia yang tidur tak berselimut dengan isterinya! Wallahu a'lam.]

Selamat menilai artikel ini dan komen-komen saya.

Allahu musta'an.

Abu al-'Izz

Sumber : Dr. Asmadi