Thursday, October 8, 2009

KHUTBAH JUMAAT

Khutbah ini dibaca oleh Abu Syathibie di UIA Kuantan pada 9hb Oktober 2009. Khutbah ini adalah diambil sumbernya daripada Ibn Atiq setelah diedit oleh empunya blog..khutbah kedua pula ihsan daripada artikel Ust. Din Tantawi...


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ
فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ


Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 22 surah al-Ahzab :

ولما رءا المؤمنون الأحزاب قالوا هذا ماوعدنا الله ورسوله وصدق الله ورسوله ومازادهم إلا إيمانا وتسليما
Maksudnya : Manakala orang-orang yang beriman melihat pasukan Ahzab, mereka berkata : Inilah ia yang telah dijanjikan oleh Allah dan rasulNya kepada kita. Dan benarlah Allah dan rasulNya, dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan iman dan ketundukan.


Kita baru sahaja bergembira penuh kesyukuran dalam menyambut hari raya eidil fitri setelah sebulan bertarung dengan nafsu untuk berpuasa sebulan Ramadhan. Setelah itu kita sama-sama mengikiskan perasaan cinta dan tamakkan harta dengan sama-sama mengeluarkan zakat untuk memberi kegembiraan dan bantuan kepada saudara seislam yang susah.


Jika pada bulan Ramadhan yang lepas sejarah Islam pernah mencatatkan kemenangan gemilang tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah s.a.w dalam peperangan Badar al-Kubra di mana pertempuran sengit secara berdepan dengan tentera kuffar yang berganda lebih ramai berjaya ditumbangkan oleh tentera Islam. Maka pada bulan Syawal ini sekali lagi tentera Islam mencatatkan kemenangan gemilang di dalam peperangan Khandak atau Ahzab dalam mengalahkan tentera kuffar yang menggabungkan banyak puak dan agama di mana kemenangan ini diperolehi melalui kehebatan strategi, perang saraf ditambah dengan pertolongan Allah s.w.t

Kemenangan ini terus diingati dan disebut-sebut oleh seluruh umat Islam terutama apabila tibanya hari raya dengan laungan وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده yang bermaksud Dan Dia (Allah) yang memulia dengan memberi kemenangan kepada tenteraNya dan mengalahkan tentera bersekutu kuffar (Ahzab).

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Peperangan Khandak yang beerti kubu parit atau pun Ahzab yang beerti tentera bersekutu yang merupakan gabungan banyak puak kuffar dalam melawan tentera Islam di mana peperangan ini telah berlaku pada bulan Syawal tahun kelima hijrah. Peperangan ini disebabkan oleh perancangan jahat yahudi Bani Nadhir yang menghantar beberapa orang pemimpinnya untuk menemui pemimpin musyrikin Mekah bagi merancang gabungan pelbagai puak kuffar untuk menyerang Madinah habis-habisan sehingga ke akar umbi.
Rasulullah s.a.w dan tentera Islam terus bermesyuarat dalam mengatur strategi bagi menghadapi tentera bersekutu kuffar yang begitu ramai berbanding jumlah tentera Islam hanya 3 ribu orang shj. Salman al-Farisi mengemukakan cadangan dengan katanya :” Wahai Rasulullah! Kami di negeri Parsi, apabila kami bimbang untuk menghadapi serangan tentera berkuda maka kami bertahan dengan menggali parit”. Cadangan ini diterima dan ini menunjukkan bahawa ilmu dunia boleh diterima walau dari mana datangnya asalkan tidak bercanggah dengan Islam. Oleh itu tidak salah jika umat Islam belajar cara ketenteraan, pembuatan senjata dan sebagainya dari ilmu dunia yang bermanfaat daripada orang bukan Islam asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Mereka juga mesti dilengkapi dengan ilmu agama terlebih dahulu agar tidak terpengaruh dengan serangan pemikiran yang menyebabkan mereka bukan lahir sebagai pakar ilmu dunia untuk perjuangan Islam tetapi sebaliknya menjadi penentang Islam kerana terpengaruh dengan agama, ideologi dan budaya sesat orang kafir.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Selepas itu Rasulullah s.a.w sendiri dibantu oleh tentera Islam yang lain berganding bahu dalam menggali parit bagi tujuan sebagai kubu pertahanan daripada serangan musuh. Ketika peperangan ini berlaku cuaca agak dingin sedangkan bekalan makanan tidak mencukupi sehingga Abu Talhah mengatakan :” Kami mengadu kebuluran itu kepada Rasulullah s.a.w dan kami tunjukkan batu demi batu yang diikat diperut kami lalu nabi juga menunjukkan dua ketul batu diperutnya”. Tujuan diikat batu ini menurut setengah ulama’ adalah bagi menegakkan tulang belakang yang boleh menahan lapar. Di saat cemas ini maka berlakulah beberapa mukjizat daripada Rasulullah s.a.w untuk menaikkan semangat jihad tentera Islam antaranya makanan sedikit menjadi banyak. Mereka bekerja keras dalam menyiapkan parit ini pada siang hari dan pada waktu malam pula mereka berkawal.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Dalam peperangan ini tidak berlaku pertempuran sengit di mana hanya pertempuran kecil sahaja berlaku iaitu apabila ada tentera kuffar yang cuba melepasi parit akan dipanah. Begitu juga tentera kuffar hanya mampu melepaskan anak panah dari jauh kerana dihalangi oleh parit. Dalam peperangan ini 6 orang muslimin gugur syahid dan 10 orang musyrikin berjaya dibunuh. Peperangan berakhir dengan kemenangan bagi pihak Islam apabila kesatuan musuh berjaya dipecahkan melalui seorang utusan rahsia yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w. Gabungan sekutu kuffar ini saling tidak mempercayai antara satu sama lain hasil daripada peperangan saraf yang dilancarkan itu . Ditambah pula dengan bantuan Allah dengan mendatangkan angin kencang yang menyebabkan tentera bersekutu kuffar berundur dari medan pertempuran. Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Ahzab :

يأيها الذين آمنوا اذكروا نعمة الله عليكم إذ جاءتكم جنود فارسلنا عليهم ريحا وجنودا لم تروها وكان الله بما تعملون بصيرا

Maksudnya : Whai orang-orang yang beriman! Ingatlah nikmat Allah ke atas kamu iaitu ketika datang kepada kamu bala tentera musuh. Maka Kami kirimkan kepada mereka angin kencang dan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan adalah Allah itu Amat Melihat apa yang kamu kerjakan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ



Khutbah kedua

Gempa bumi yang berlaku di Padang dan Jambi Sumatera pada 30 september dan 1 oktober baru -baru ini cukup memilukan . Kemusnahan dan kebinasaan akibat gempa bumi yang dahsyat ini sukar untuk dianggar . Musnah harta benda dan binasa segala nyawa .Namun peristiwa sedemikian tidaklah berlaku secara spontan atau hanya fenomena alam sebagaimana yang sering diungkapkan oleh mereka yang tidak beriman kepada Qadha' dan Qadar Allah swt .

Al Quran [ wahyu Allah swt ] telah menegaskan beberapa peringatan yang boleh di dapati dalam banyak surah dan ayat guna membimbing ummat manusia agar beriman , bertaqwa dan mengabdikan diri kepada Allah swt .Antara yang menarik sekaligus membuktikan mukjizat al Quran ialah keselarasan ayat quran dengan peristiwa gempa bumi di Padang Sumatera . Gempa bumi yang berlaku di Padang pada 30 september tempohari ialah tepat jam 5.16 pm [ atau jam 17:16 ] dan gegaran kedua berlaku pada jam 5. 58 pm [ atau jam 17 : 58 ] . Sementara esoknya [ 1 Oktober ] jam 8.52 am berlaku gegaran susulan di Jambi .

Apabila kita laraskan masa berlaku gempa bumi dengan surah dan ayat al quran , kita akan temui persamaannya seperti berikut . [ Jam 17 : 16 = Surah ke 17 ayat ke 16 ] [ Jam 17 : 58 = Surah ke 17 ayat ke 58 ] [ Jam 8:52 = Surah ke 8 ayat ke 52 ]

Secara indeksnya surah ke 17 ialah surah al Israa' sementara surah ke 8 ialah surah al Anfaal .

و إذا أردنا أن نهلك قرية أمرنا مترفيها ففسقوا فيها فحق عليها القول فدمرناها تدميرا

17.16 (QS. Al Israa’ ayat 16): “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”

و إن من قرية إلا نحن مهلكوها قبل يوم القيامة إو معذبوها عذابا شديدا كان ذلك في الكتاب مسطورا



17.58 (QS. Al Israa’ ayat 58): “Tak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz).”

كدأب آل فرعون و الذين من قبلهم كفروا بأيات الله فأخذهم الله بذنوبهم إن الله قوي شديد العقاب



8.52 (QS. Al Anfaal: 52): (Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras siksaan-Nya.”

Ayat - ayat di atas jelas menunjukkan azab dan musibah yang Allah swt timpakan ke atas sesebuah negara atau negeri lantaran penghuninya derhaka kepada Allah swt . Ia boleh berlaku dan telah berlaku di hadapan mata kepala kita biarpun jauh di negara orang untuk menjadi iktibar buat seluruh ummat manusia . Ayat - ayat Allah ini merupakan sistem amaran awal yang perlu diambil perhatian oleh seluruh ummat manusia supaya menjauhi segala perbuatan mungkar dan maksiat yang dimurkai oleh Allah swt . Hari ini mungkin Indonesia , tetapi tidak mustahil ia boleh berlaku di negara kita Malaysia pula pada bila - bila [ wali'yazubillah ] jika maksiat dan mungkar makin membarah .

Maka mimbar jumaat hari ini menyeru seluruh rakyat negara ini khususnya negeri pahang agar kembali kepada Islam sekaligus meninggalkan maksiat dan mungkar [ zina , pergaulan bebas , pendedahan aurat , judi , arak , rogol , rompak , samun , rasuah , salah guna kuasa , zalim dan 1001 perkara mungkar ] agar seluruh rakyat dan negara di berkati dan dirahmati oleh Allah swt .


Thursday, August 6, 2009

KHUTBAH JUMAAT


Dibaca oleh Abusyathibie pada 7hb Ogos 2009 di UIAM, Kuantan. (khutbah ini adalah gabungan serta ubah suaian daripada empunya blog, khutbah Ibn Atiq dan artikel daripada Ustaz Zuridan.)


KHUTBAH PERTAMA


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.
Allah s.w.t berfirman yang berbunyi :

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْراً فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ذَلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ (36

bermaksud: (( Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram(Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya, dan Ketahuilah bahwasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa)). Suarah Al-Taubah : 36.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah
Alhamdulillah …kita masih lagi berada di bulan Syaaban. Sya’ban mengikut definasinya bererti pecahan yang banyak, di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka keluar pada bulan setelah duduk lama di rumah pada bulan Rejab. Mereka juga keluar beramai-ramai mencari air dan makanan.
Ketibaan bulan Syaaban seharusnya disambut dengan azam dan komitmen untuk meningkatkan keimanan kepada Allah Taala dengan memperbanyakkan amalan dan kebajikan. Kerana hidup seorang muslim hendaklah sentiasa berubah kepada keadaan yang lebih baik dari sebelumnya. Bentuk perlaksanaan ibadah pada bulan Syaaban adalah merupakan satu kebebasan kepada umat Islam tanpa dikhususkan kepada amalan-amalan tertentu atau dengan cara yang tertentu kecuali nas yang menggalakkan berpuasa sunat. Oleh itu di samping ibadah puasa, bolehlah juga dilakukan amalan-amalan lain seperti bersedekah, berzikir,qiamullail dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Sempena berada pada bulan Sya’aban ini maka eloklah kita mengimbau kembali kejahatan orang munafik yang digambarkan ketika berlangsungnya Peperangan Bani Mustaliq pada bulan Sya’ban tahun 6H. Tindakan pantas nabi telah menyebabkan perancangan jahat Bani Mustaliq pimpinan al-Harith bin Abi Dirar untuk menyerang Madinah dapat dipatahkan dengan mudah sehingga ramai yang menjadi tawanan.
Namun dalam perjalanan pulang daripada Peperangan Bani Mustaliq ini, golongan Munafiq pimpinan Abdullah bin Ubai cuba menghancurkan kesatuan tentera Islam dengan menyalakan api fitnah yang paling besar dengan tersebarnya khabar Ifk atau tuduhan zina terhadap Siti Aisyah dengan Safwan bin al-Mu’tal. Fitnah ini digunakan semaksima yang mungkin oleh Abdullah bin Ubai dalam menghilangkan kepercayaan orang ramai terhadap nabi Muhammad s.a.w bagi membuka kembali peluangnya untuk menjadi pemimpin Madinah. Akhirnya turunlah ayat 11 surah an-Nur yang berbunyi :
إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالإِفْكِ عُصْبَةٌ مِنْكُمْ لا تَحْسَبُوهُ شَرّاً لَكُمْ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَكُمْ لِكُلِّ امْرِئٍ مِنْهُمْ مَا اكْتَسَبَ مِنْ الإِثْمِ وَالَّذِي تَوَلَّى كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ (11)
Maksudnya : Sesungguhnya orang yang membawa berita bohong itu adalah dari kalangan kamu juga. Janganlah kamu anggap bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik untukmu. Setiap orang dari mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan sesiapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam menyiarkan berita bohong itu maka baginya azab yang amat besar.
Ayat tersebut diturunkan selepas sebulan Siti Aisyah difitnah dan seterusnya menjelaskan bagaimana bersihnya Siti Aisyah daripada sebarang tuduhan liar yang ditujukan kepadanya. 3 orang yang didapati bersalah menjadi dalang kepada tersebarnya fitnah ini dihukum dengan hukuman qazaf 80 kali sebatan iaitu Hasan bin Thabit, Misthah dan Hamnah binti Jahsy.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Bila disebut tentang hukum sebat maka kita baru sahaja mendengar bagaimana seorang model dihukum sebat oleh Mahkamah Syariah kerana bersalah minum arak. Ini mendedahkan kepada masyarakat tentang perbezaan ketara antara hukum sebat mahkamah sivil yang dilihat terlalu kejam kerana mendatangkan pendarahan dan kecederaan malah parut sebat itu sendiri hanya akan hilang selepas dua tahun disebat sedangkan luka disebabkan sebat mahkamah syariah pula hanya akan pulih setelah berminggu-minggu sahaja.

Beberapa bulan yang lepas adanya cadangan daripada Mufti sebuah Negeri di semenanjung supaya dilaksanakan hukum takzir sebat di khalayak ramai bagi jenayah yang tidak besar supaya penjara tidak sesak dan kos menjaga penjenayah tidak terus meningkat disamping kes-kes ini diselesai dengan berkesan dan cepat tanpa menghalang penjenayah untuk menjalankan tugasan harian selepas itu.

. Begitu juga cadangan seorng menteri agama selepas itu di Dewan Negara supaya dilaksanakan hukum hudud bagi menangani masalah ragut dan seumpamanya. Semoga dengan adanya cadangan dan desakan seperti ini dapat menjadi perintis kepada perlaksanaan hukuman Islam yang lebih sempurna dalam membendung pelbagai kes jenayah, rompak dan kerosakan akhlak yang semakin meruncing sehinggakan tabung masjid pun sanggup dipecah dan dirompak. Kita kesal dengan suara sumbang sesetengah pihak seperti Sisters in Islam yang hanya lantang bila hukuman sebat kepada pesalah dijatuhkan atas alasan menzalimi kaum wanita sedangkan ketika seorang ibu muda Mesir bernama Marwah Syarbini ditikam 18 kali di Mahkamah Jerman kerana mempertahankan tudung, tiada pula suara dari golongan ini yang sememangnya tak bertudung pun, kononnya menjaga hak asasi manusia. Mereka mengaku Islam …tapi tak bertudung…maka termasuklah mereka ini diantara perkara pelik dan ajaib…nauzubillahi min zalik…Ingatlah..wahai makhluk yg bernama manusia…bagaimana hebatnya dakwaan kamu yg ingin menjaga hak asasi manusia…maka ketahuilah bahawa hak Allah mengatasi segala-galanya.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Ketika ini Negara kita dicengkam pelbagai bala dari H1N1, jerubu, kekurangan dan harga makanan yang semakin meningkat.Walaupun sebahagian darinya merupakan tanggungjawab kerajaan untuk menanganinya seperti kekurangan dan harga makanan yang semakin meningkat, tetapi sebagai rakyat kita juga mesti memainkan peranan lebih-lebih lagi memohon pertolongan dari Allah. Hari ini, dari hampir 1500 kes H1N1, kematian meningkat kepada 14 orang. Bagi Kuantan khusunya, telah muncul korban pertama jangkitan H1N1 iaitu adik Mohd Syafiq Aiman Mohd Saiful Afendi yang telah meninggal rabu lepas. Beliau yang baru berumur 6thn telah menjadi mangsa yang ketiga belas ketika itu. Fenomena ini jelas menunjukkan bahawa keadaan sudah semakin serius dan kita bimbang jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menjadi kenyataan. WHO menjangka dan memberi amaran bahawa angka mangsa yang terpaksa dimasukkan ke hospital berikutan wabak H1N1 di Malaysia akan meningkat dan jika tidak dibendung dengan cara yang berkesan, angka kematian juga akan meningkat.
Justeru marilah kita bersama2 selepas ini mendirikan solat hajat bagi memohon kepada Allah s.w.t. agar menjauhkan pelbagai bala yang semakin membimbangkan di negara ini.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

KHUTBAH KEDUA

Nisfu Syaaban is a clear indicator that the blessed month of Ramadan is around the corner. One can fast as many as days as one likes before Nisfu Syaaban. But after Nisfu Syaaban, the 15th Syaaban, one should not fast, except for those who are used to fast on certain days, every Mondays and Thursdays for example.

But if one is not used to that pattern, and he wants to fast after Nisfu Syaaban, then it is not advisable for him to do so. In hadith narrated by Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w said:

Which means: When Nisfu Syaaban comes, stop fasting until Ramadan.

My brothers in Islam,

Let us not just regard Nisfu Syaaban as a sign that Ramadan is near. We should also regard Nisfu Syaaban as a sign that we should look into ourselves, to do some self-accounting on our past deeds. How little our devotions to Allah are and how much our sins are. How unprepared we are for the blessings of Allah in Ramadan.

If that is our condition, we should seriously consider doing some house cleaning. Not for our physical houses, but for our hearts, and our spiritual self. Grab the opportunity presented to us in the night of Nisfu Syaaban to repent on all our mistakes, and to seek forgiveness from Allah. And for two weeks after that, let us watch carefully our character, our manners, so that when Ramadan comes, we will be spiritually ready for it.

May the coming days witness a positive change in our community, and ourselves amen.



Tuesday, August 4, 2009

KITA MERANCANG ALLAH YG MENENTUKAN

Ribuan kemaafan dari pihak masjid UIA diatas penangguhan ceramah ustaz azhar Idruss pada 11hb Ogos depan..Di saat kesemua AJK telah bersetuju, masa yang dianggap paling sesuai ...atas nasihat jabatan kesihatan ,ceramah tersebut terpaksa dibatalkan di sebabkan H1N1 yg telah merebak di UIA Kuantan..setakat ini sudah 3 Kulliyah di tutup....Kull. Nursing, Dentist dan paling terbaru Medic...Sedikit kekecewaan tampak disetiap air muka AJK...tetapi InsyaAllah...kami akan berusaha lg untuk menjemput al-Fadhil ustaz...walaupun terpaksa akur bahawa mmg susah nak cari waktu yg beliau kosong...Rabbuna yusahhil....

Thursday, July 30, 2009

WAJAKU, MUSIBAH, H1N1 DAN USTAZ AZHAR IDRUSS


Baru je ambik tgh tadi ….pomen kata tak de ape yg serius…enjin ok jer…aku test pun ok jer…mcm bawak kereta baru jer…Bau pun mcm keta baru…tapi kekok la skit…sbb dah hampir sebulan dok pakai auto…


Aku Tanya berape jumlah semuanya…amoi tu cakap lebih kurang 9ribu….oklah tu…bukan aku yg bayar…sekarang tgh tunggu dokumen utk bagi NCD aku ke Treler kurang asam yg langgar waja aku…



Semalam warga UIA kuantan dikejutkan dgn satu musibah akibat kematian seorang student dari kulliyyah CTS..akibat digilis oleh bas…ngeri jugak membaca kisahnya di harian Metro hari ni…beliau sebenarnya student aku…baru sem lepas masuk kelas tilawah…aku mmg ingat sgt student ni…sbb dia ni org Felda tersang, Raub, Pahang…so …org Pahang kt UIA kuantan ni boleh bilang dgn jari…sikit ngat… Apa2 pun semoga ruhnya ditempatkan disamping mereka2 yg beriman..


Semenjak dua menjak ni byk ngat accident yg melibatkan kenderaan berat…kejadian di Kulai dan di Maran…tak sanggup nak recall balik kisah tersebut…aku betul2 bersyukur kemalangan yg menimpa aku sekeluarga dulu taklah seteruk mcm di Kulai dan Maran….tak dapat nak dibayangkan kesedihan yg menimpa empunya anak , emak mahupun ayah yang terlibat. Pun begitu sebagai muslim..kita wajib akur bhw setiap kejadian ada hikmah yg tersirat..walaupun aku tahu betapa kesedihan yg sebegitu cukup meruntuhkan sebuah jiwa dan mungkin kalau terkena kpd aku..aku pun tak tahu bagaimana hendak menghadapinya…


Hari ni dan esok…student nursing kena kuarantin….H1N1….dgr cita suspek jer…tp dr. Norlita mintak mereka stop semua aktiviti…termasuklah kelas tilawah esok….so takde kelas le esok….

Akhirnya….dapat jugak masjid UIA Kuantan menjemput al-Fadhil Ustaz Azhar Idruss untuk member ceramah ..Program yg bertajuk “MENGGAMIT RAMADHAN BERSAMA USTAZ AZHAR IDRUS” akan berlangsung pada Selasa 11hb Ogos, lepas magrib… So…mintak heboh2kan lah perkara yg baik ni…InsyaAllah pihak masjid akan berusaha agar dapat mengikat al-Fadhil ustaz agar dapat meluangkan masa di UIA paling kerap sekali sebulan…

P/S: esok ade org nak upgrade avanza dia dari 1.3 ke 1.5.....

Wednesday, July 29, 2009

3HARI 2MLM DI TIOMAN




lama betul tak update blog...lepas accident hari tu..rasa macam malas je nak menaip..ditambah pula dengan pendaftaran student baru yg kebiasaanya bisa membuat kepala sperti nak pecah...




baru2 ni join geng2 OCD gi tioman ....lepas berhempas pulas dgn student baru...kitaorg release tension kit kat pulau...

First time gi ni....kira ok la gak...keindahannya tak yah ckp la..memang cantik...tapi..seperti langkawi dan pangkor...keindahan pulau2 tersebut dicemari dgn najis arak yg mmg sudah bermaustatin lama di situ.

Berbagai acara telah disusun oleh ajk...termasuk pertandingan photography...aku yg mmg buta pasal kamera ni pun join la jugak...tak sangka lak boleh menang tempat kedua kategori people& events..gambar anak aku pakai google...



Ada 2 kenangan yg tak dapat dilupakan tioman hari tu.. ..kepala anak aku terhantuk kat kerusi simen masa kat marin park, Tekek...bayk jugak darah keluar...nasib baik ade dr. Jamal dan dr. Norlita...tapi tak lah serius sgt...dan juga kenangan ketika nak balik ke Mersing..hujan punya la lebat...jeti dah la takde atap...terpaksalah berlari dlm hujan menuju ke Bot sbb bot taknak tunggu da...habis lenjut belaka...dalam bot tu berjeruk belaka...dari bebudak sampailah ke org tua...hehh..bak kata Ijoy...ni mesti ada yg tak puas mandi laut....



kesimpulan...kalu ade org tanya ...nak gi lagi tak?..aku rasa mungkin dalam 5 atau 6 tahun lagi la...biar anak2 dah besar skit..sbb tioman ni mmg sesuai utk acara laut sahaje la...nak shopping2 tak de le...tak sama cam langkawi...



so..kalu nak gi dgn puas hati pastikan anak2 dah pandai bawak diri, org rumah pun boleh join snorkeling sekali...sbb depa tak dak aktiviti..nak shoping tak berapa syok...kalu bawak yg kecik2 ni...terbantutlah skit nak berseronok tu..

Sunday, June 21, 2009

SEMOGA TABAH MENEMPUH DUGAAN




19hb jun 2009...aku sekeluarga diduga dgn suatu kejadian yang tidak disangka...sekelip mata sahaja...aku sekeluarga baru balik dari Bangi mengambil adik yang ingin mendaftar di Batu rakit...sebelum tu aku ke UM untuk mengambil tesis yg sudah diperiksa oleh Musyrif...selepas menziarah baby baru Abe, aminatul 'Ulya kami (2 buah kereta) pun brgegas balik ke lipis..sampai di Raub...hujan semakin lebat...

Aku mengekori sebuah HILUX dan HILUX tersebut memberi signal untuk kekiri lalu berhenti dan aku pun turut berhenti...tetiba..sebuah treler bawak tepung menyondol aku dari belakang dan aku pun tersondolah HILUX tadi...


Nasib baik keluarga aku tidak ade yg cedera...taklah kuat sgt sebab airbag tak keluar pun.. tapi WAJA aku..alahai...depan belakang kemek...

Aku bersyukur sebab family takde apa2...nasib baik rmh kakak dekat2 situ jer...bermlmlah aku di Raub dan esok terus balik kuantan dgn VIVA pinjam kakak aku...sbb WAJA dah sampai bengkel...

Pomen tu ckp...sebulan jugak baru siap...aduii...kena pinjam keta adik aku jugak le ni...

Biasalah...setiap kejadian sudah tentu ada hikmahnya...dan aku menerimanya sebagai salah satu ujian daripada ujian2 yang Allah telah tetapkan keatas diriku....

P/s: sepatutnya sekarang ni aku kena betulkan tesis aku spertimana yg telah musyrif aku semak...sbb kena cpt takut sibuk pulak bukak sem nanti...tp disbbkan masih terkejut dan mungkin trauma tak ilang lg...tesis tersebut elok jer terperuk dlm beg sepertimana aku terima dr musyrif aku...esoklah aku buat...

Thursday, May 28, 2009

SATU SEM LAGI.....

Selepas hantar along kesekolah tadi...aku terus bergegas ke UM sebab kena bentang proposal sebagai syarat untuk diangkat ke pengajian tinggi....musyrif aku ghoyat seminar ni taklah syadid sgt macam candidate defense hari tu....sekadar syarat jer...

sampai kat UM kul 1.30ptg...rehat jap sambil membelek harian metro yg makin laris dek kes Akhil Khayy..kena tunggu pulak 2 Jun...entahlah.....nak komen pun rasa tak sampai hati..

sebelum sembhyg dapat msg dari mae yg baru lepas ambik along balik sekolah...nasib baik ade mae...kalu tak tahulah aku nak adjust camaner sbb dia ade peksa hari ni...kalu bukan sbb peksa... nak suruh dia ponteng je...

Aku kena last sekali pulak tu...tapi rata2 penyelia berpuas hati dengan ape yg di bentang...walaupun terpaksa jugak aku menggunakan marker dan papan putih untuk menjelaskan ruanglingkup tesis aku...

berita terbaru dari Dr. Ishak mengatakan bahawa pihak UM telah meluluskan insentif bagi menggalakkan pelajarnya mempercepatkan tesis...bagi master...sesiapa yg habis cukup 2 tahun dapat RM 1000...dan bagi PHD cukup 3tahun dapat RM2000.

Bagi master pulak...tesisnya hanya dari 100 ke 120 mukasurat je (20mk setiap bab)..sbb katanya UM nak fokus kepada isi sahaja dan taknak bahasa meleret2....

lepas bentang..musyrif aku ghoyat ...aku kena tambah se sem lagi..sbb urusan mungkin tak sempat nak buat dan tesis aku masih dalam pemeriksaan lagi...nak wat guaner...ingatkan boleh konvo thn ni...

aku tanya jugak pasal nasib budak syubro...jawapan tetap sama ...UM masih tutup pintu..kena cari pintu lain le nak wat PHD...aku tgk adalah kwn aku sorang tu nak wat PHD tentang qiraat tapi kaji kitab tajwid...dan tajuknya boleh dikatakan senang byk daripada tajuk master aku...aduiih...camaner boleh lepas ni...itulah akibatnya, rosak... kalau yg bukan ahli nak jadi ahli... dan yang ahli pulak kena ditutup pintukan...dan kalau lepaslah tajuk tersebut...ianya betul2 akan menjatuh martabat ilmu qiraat itu sendiri...tapi..musyrif aku pun ghoyat mungkin tajuk dia tak lepas sbb apa yg dikaji hanya berkisar kpd tajwid sahaja...

aku pun maleh nak pikir tentang perkara ni...habiskan master dulu pastu kena carilah pintu lain nak sambung lg...kena byk bersabarlah...bak kata Dr Ishak..."enta sabar dulu syeikh..mana tahu 2 atau 3 tahun lagi UM bukak balik pintu...manusia syeikh...mesti akan berubah punya"

sebelum balik jumpa Abe (selepas tersilap masuk ke highway DUKE...2ringgit tu tol..mmg tobat aku tak duk k.l)....gi ngetey kat kedai mamak jap...nyembang...dia cerita psl ISO hari tu...teruk jugak dia kena...rileks lah Abe...kitaorg tetap sokong mu jadi Head...heheh...hidup Abe!!!!!!!ops..lupa plak...sorang lg head....hidup zulkhairi!!!!!!!

Thursday, May 21, 2009

PERANG MUKHTAH

DIBACA OLEH ABU SYATHIBIE DI MASJID UIA KUANTAN PADA 22 MEI 2009
(Teks disalin daripada Ibn Atiq dengan beberapa ubah suaian)


الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ.....فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya. Janganlah kita hanya tahu mendengar sahaja perkataan taqwa serta menyebutnya sedangkan ia tidak menyerap ke dalam sanubari kita . Hitunglah diri kita setiap masa samada semakin hampir kepada Allah atau sebaliknya. Adakah amalan soleh kita semakin meningkat atau pun menurun….

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Firman Allah dalam ayat 111 surah at-Taubah :


إن الله اشترى من المؤمنين أنفسهم وأموالهم بأن لهم الجنة يقتلون فى سبيل الله فيقتلون ويقتلون وعدا عليه حقا فى التورئة والإنجيل والقرءان ومن أوفى بعهده من الله فاستبشروا ببيعكم الذى بايعتم به وذلك هو الفوز العظيم

.
Maksudnya : Sesungguhnya Allah membeli jiwa dan harta orang-orang yang beriman bahawa untuk mereka ganjaran Syurga. Mereka berperang di jalan Allah lalu mereka membunuh atau terbunuh sebagai janji yang benar bagi Allah (yang termaktub) dalam taurat, Injil dan Quran. Siapakah yang lebih menepati janjinya daripada Allah. Oleh itu bergembiralah kamu dengan penjualan yang kamu jual itu. Demikian itulah kemenangan yang besar.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Kita sekarang berada di bulan jamadil awwal yang mana sepertimana bulan-bulan Islam yang lain, Jamadil Awwal pernah memahatkan peristiwa bersejarah di mana pada bulan ini telah berlakunya peperangan Mu'tah yang terletak berhampiran dengan Kota Karak, Jordan. Ia berlaku pada tahun 8H akibat daripada pembunuhan Harith bin Umair Al-Azdi apabila beliau direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas ketika dihantar oleh Rasulullah S.A.W kepada Raja Busra sebagai seorang utusan.

Peperangan Mu’tah merupakan antara siri awal peperangan tentera Islam di luar semenanjung Tanah Arab dalam menghadapi tentera bukan Arab. Sebagaimana maklum bahawa selepas pembukaan Kota Mekah pada bulan Ramadhan tahun yang sama maka tidak lagi berlaku peperangan besar dengan kafir Quraisy sebaliknya tumpuan dakwah Islam mula dikembangkan ke luar tanah arab melalui penghantaran utusan yang membawa surat daripada Rasulullah s.a.w yang biasanya turut ditulis beberapa ayat al-Quran kepada ketua qabilah, raja-raja dan pemimpin negara berhampiran. Kita boleh faham daripada tindakan Rasulullah s.a.w ini bahawa tidak salah orang bukan Islam diberi peluang untuk membaca ayat al-Quran bukan untuk tujuan menghina tetapi untuk mengkaji keindahan al-Quran dan penyebaran dakwah Islam.

Jawapan yang diterima daripada pemimpin qabilah dan negara terhadap seruan dakwah melalui surat yang dihantar ini bermacam-macam di mana ada yang menerima Islam, tidak kurang yang menolak secara lembut dan ada juga yang menolak secara kasar termasuk dalam kes utusan kepada Raja Busra yang dibunuh secara kejam. Pada hari ini jarang berlaku pemimpin negara umat Islam yang menghantar surat dakwah kepada pemimpin bukan Islam sebaliknya ramai yang mengutus surat untuk terus taat setia kepada kuasa kuffar dan sistem ciptaan manusia. Apa yang lebih malang apabila pemimpin negara umat Islam bukan sahaja merasa malu dan takut untuk menyebarkan Islam malah menampilkan imej yang buruk akibat pecah amanah dan rasuah dan skandal moral yang lain.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Tentera muslimin seramai tiga ribu orang telah dikumpul dalam masa yang singkat untuk keluar berperang di Mu'tah di mana Rasulullah S.A.W tidak turut serta dalam peperangan ini. Daripada tindakan ini dapatlah kita mengambil iktibar yang mana Islam bukanlah agama yang tertegak hanya melalui mata pedang kerana peperangan adalah langkah yang terakhir selepas utusan yang diutuskan untuk menjalankan kerja-kerja dakwah tidak diterima malah dikhianati maka barulah tindakan yang lebih kasar iaitu peperangan boleh dilakukan.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,


Ketika tentera Islam bertolak menuju ke Mu’tah yang terletak beribu kilometer dari Kota Madinah. Sebaik sahaja mereka tiba di Ma’an iaitu sebuah pekan yang terletak lebih kurang 100 kilometer dari Mu’tah, tentera musuh telah mendengar kemaraan tentera Islam di mana dengan segera panglima perang musuh, Harcules mengumpul bala tentera lebih seratus ribu orang disamping Syurahbil pula mengumpul seramai seratus ribu bala tentera yang lain hasil gabungan qabilah Lakham, Juzam, Balqin dan Bahara'. Apabila mendengar berita mengenai jumlah tentera musuh yang begitu ramai, maka tentera muslimin telah berbincang langkah mereka yang seterusnya di Ma'an selama dua malam. Ramai di kalangan mereka telah mencadangkan agar menghantar maklumat kepada Rasulullah S.A.W mengenai perkara ini tetapi Abdullah bin Rawahah dengan tegas bangun menyatakan : Demi Allah! Adakah kita benci kepada sebab keluarnya kita ke sini iaitu memburu syahid.Kita bukan datang berperang semata-mata kerana bilangan, bukan kerana kekuatan dan bukan kerana kuantiti tetapi kerana agama Islam yang telah Allah memuliakan kita dengannya. Maka maralah kamu sesungguhnya salah satu daripada 2 kebaikan akan kamu perolehi samada beroleh kemenangan atau pun gugur syahid bersama keredhaan Allah. Kata-kata semangat ini berjaya meniupkan kembali roh jihad dalam diri tentera Islam.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Peperangan meletus sebelum masuk kawasan Mu'tah lagi di antara tentera Islam berjumlah 3 ribu orang dengan tentera Rom seramai 200 ribu orang. Pada mulanya Zaid bin Harithah yang memegang bendera panji Islam tetapi beliau telah gugur syahid di mana panji tersebut seterusnya dipegang oleh Ja'afar bin Abi Thalib. Beliau turut gugur syahid di mana pada permulaannya tangan kanan beliau ditetak putus oleh musuh. Kemudiaannya beliau terus mengawal bendera panji Islam agar tidak jatuh dan ketika itu pula tangan kirinya pula dipotong oleh musuh. Namun begitu beliau terus menggigit bendera panji dengan giginya tetapi kali ini kepalanya telah dipenggal yang menyebabkan beliau gugur syahid. Selain kedua tangannya yang putus ditetak oleh musuh, terdapat 50 kesan panahan pada badan beliau.

Rasulullah s.a.w menyatakn bagaimana Allah menjadikan kedua tangannya itu sebagai sayap yang membolehkan beliau berterbang bebas di Syurga. Sebab itulah beliau digelar dengan Ja’afar at-Toyyar yakni Ja’afar yang mempunyai 2 sayap. Kemudian panji bendera Islam itu berpindah ke tangan Abdullah bin Rawahah tetapi beliau juga gugur syahid yang mana kepimpinan selepas itu diterajui oleh panglima perang yang agung iaitu Khalid bin Al-Walid dengan persetujuan daripada tentera Islam yang lain. Peristiwa ini mengajar kita agar bermujahadah di dalam menjaga maruah diri dan maruah Islam yg tercinta walaupun nyawa sebagai bayarannya. Dan juga mengajar kita taat kepada arahan yang dikeluarkan oleh pemimpin selagi mana ianya tidak bersalahan dengan syarak.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Akhirnya kita dapat menyaksikan bagaimana Allah tetap menolong dan memberi kemenangan kepada hambaNya yang istiqomah, thabat dan bermujahadah dalam perjuangan yang hak dan ianya memerlukan ujian, mehnah dan dugaan bukannya boleh dihasilkan dengan cara mudah dan setakat goyang kaki sahaja.Seramai 12 orang tentera Islam yang gugur syahid termasuk 3 panglima yang dilantik. Manakala bilangan tentera Rom pula tiada jumlah secara tepat tetapi agak ramai yang mati.
Kesan daripada peperangan ini masih ada sehingga sekarang yang mana kita boleh melawat maqam-maqam sahabat yang telah gugur syahid dalam peperangan ini di Mazar berdekatan dengan Mu'tah.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Beberapa tahun yang lepas pihak kerajaan Jordan telah menggali dalam kawasan yang mana dikuburkan para syuhada' bagi membina masjid baru menggantikan masjid yang lama. Ketika berjalannya kerja-kerja ini, berlakunya peristiwa yang mana salah sebuah jentolak yang digunakan telah terkena tubuh syuhada' dan darah segar masih mengalir dari tubuh mereka walaupun lebih seratus tahun mereka meninggal dunia. Perkara ini berlaku kepada kubur-kubur yang tidak jelas kewujudannya kerana tiada sebarang tanda yang digunakan. Peristiwa ini meyakinkan lagi kepada kita bahawa mereka yang gugur syahid sebenarnya tidak mati di sisi Allah.

Benarlah firman Allah dalam ayat 169 :


ولا تحسبن الذين قتلوا في سبيل الله أمواتا بل أحياء عند ربهم يرزقون

Maksudnya : Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, sedangkan mereka itu tetap hidup di sisi Tuham mereka dengan diberi rezeki.

Semoga ruh peristiwa besar ini menjadi iktibar kepada kita dalam memenuhi tuntutan sebagai khalifah dimuka bumi ini… Islam akan menang walaupun ia ditentang dan kekufuran akan kecundang walaupun ia ditatang oleh sebab kejahilan.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ